Pemain tengah berpengalaman Kedah, Baddrol Bakhtiar bersedia untuk memberikan yang terbaik buat skuad Harimau Malaya menjelang tiga perlawanan yang dijadualkan pada November ini.
Setelah sekian lama menyepi, pemain berusia 31 tahun ini akhirnya dipanggil semula oleh Tan Cheng Hoe bagi menguatkan barisan tengah pasukan bola sepak negara. Kali terakhir Baddrol menyarung jersi kebangsaan adalah pada dua tahun lepas.
Ketua pasukan Kedah ini berjanji untuk mempamerkan persembahan cemerlang untuk membalas kepercayaan barisan kejurulatihan. Dia juga menegaskan tidak mempunyai masalah untuk bergandingan dengan mana-mana pemain kerana percaya setiap pemain yang diturunkan akan memberikan komitmen 100% diatas padang.
Ini merupakan panggilan kali pertama buat Baddrol dibawah kendalian Tan Cheng Hoe selepas dua tahun. Pemain yang telah membantu Kedah untuk memenangi Piala FA 2019 ini turut percaya tidak mempunyai masalah untuk menyerap taktikal yang diguna pakai kerana pernah bersama-sama bekerjasama di kem Hijau Kuning beberapa musim lalu.
Dalam pada itu, Baddrol menjaringkan satu gol buat Malaysia menerusi sepakan penalti dalam aksi perlawanan persahabatan tertutup diantara Malaysia dan Maldives di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi. Satu lagi gol pasukan kebangsaan disumbangkan oleh Syahmi Safari.