Malaysia Berita

OKS panggil Quentin Cheng

Ketua jurulatih skuad B-22 Kebangsaan, Datuk Ong Kim Swee telah menamakan 28 orang pemain bagi menjalani kem latihan pusat bagi persiapan menghadapi Sukan SEA 2019 di Manila, Filipina yang akan bermula pada 25 November sehingga 10 Disember depan.

Bagaimanapun, lima pemain yang disenaraikan iaitu Luqman Hakim Shamsudin, Harith Haiqal Adam Afkar, Muhamad Umar Hakeem Suhar Rezwan, Muhamad Mukhairi Ajmal Mahadi dan Muhammad Azam Azmi Murad hanya akan menyertai selepas selesai aksi  Kelayakan Kejuaraan B-19 AFC 2020 di Phnom Penh, Kemboja bersama skuad B-18 kebangsaan kendalian Brad Maloney.

Beberapa muka baru juga telah dipanggil seperti Mohd Fadzrul Danel, Mohammad Fayadh, Muhammad Haziq, Muhammad Khairul Amizan , dan Quentin Cheng. 

Quentin Cheng merupakan pemain tengah berusia 19 tahun yang beraksi bersama pasukan Liga Remaja di Australia. 

Dalam pada itu, senarai pemain tambahan daripada skuad Kebangsaan kendalian Tan Cheng Hoe pula akan diumum pada 15 November 2019. Ini bukanlah skuad akhir yang akan dibawa ke Manila. 

Berdasarkan senarai nama diatas kertas, skuad ini dilihat mampu membawa balik sesuatu. Pemain-pemain muda yang berkualiti ini berpotensi untuk menjulang nama Malaysia di Manila.

Malaysia diletakkan dalam kumpulan A bersama Filipina, Myanmar, Kemboja, dan Timor Leste. Semua perlawanan peringkat kumpulan dijangka akan berlangsung di dua venue iaitu Stadium Memorial Rizal dan Stadium Binan.

Kumpulan B pula dibarisi juara bertahan Thailand, Indonesia, Vietnam, Laos, Singapura, dan Brunei. 

Empat pasukan akan berentap di peringkat separuh akhir yang mana menampilkan dua pasukan teratas setiap kumpulan. Perlawanan separuh akhir dijadualkan berlangsung pada 7 Disember. Perlawanan akhir dan penentuan pingat gangsa pula akan berlangsung pada 10 Disember 2019.

Untuk rekod, Malaysia memperoleh pingat perak pada edisi Sukan SEA 2017 di Kuala Lumpur selepas tewas 1-0 keatas Thailand.