Kolum Eropah

Tiada lagi istilah ‘Big Four’

Jika sedekad yang lepas, kita masih lagi mendengar istilah ‘Big Four’ yang sering digunakan dalam Liga Perdana Inggeris, tetapi hari ini istilah tersebut sudah tiada makna.

Secara sejarahnya, empat pasukan yang dikaitkan dengan istilah tersebut adalah Manchester United, Arsenal, Liverpool, dan Chelsea. Tambahan pula, ketika itu masih wujud kelibat pemain-pemain legenda seperti Thierry Henry, Ruud van Nisterlrooy, Alan Shearer, dan Steven Gerrard. Tidak dilupa juga, pengendali pasukan yang popular ketika itu termasuklah Gerard Houllier, Arsene Wenger, Sir Alex Ferguson, dan Claudio Ranieri.

(Photo by John Peters/Manchester United via Getty Images)

Dominasi empat kelab besar ini menjadi perhatian atas faktor prestasi mereka yang cukup baik dalam liga sehinggakan tiada pasukan lain yang mampu menembusi mahupun memberi saingan yang berkualiti.

Namun, selepas beberapa siri episod kedatangan jutawan-jutawan yang mula melabur dalam beberapa kelab seperti Manchester City dan Chelsea, segalanya kian berubah. Manchester City mula diterokai oleh jutawan Thailand yang juga bekas Perdana Menteri, Thaksin Shinawatra sebelum berjaya menjadi pasukan gergasi selepas mendapat suntikan dana daripada Sheikh Mansour yang juga merupakan pemilik kelab.

Bagi pasukan Chelsea pula, kehadiran Roman Abramovich jelas sekali mengubah status pasukan ini menjadi lebih baik. Ramai pemain bintang yang berjaya disunting oleh The Blues. Malah ada beberapa pemain yang dibeli dari seteru utama demi mencapai objektif memenangi kejuaraan liga.

Hari ini, segala-galanya sudah berubah. Bola sepak dalam Liga Perdana Inggeris sukar untuk dijangka. Pasukan kerdil juga mampu mencipta kemenangan menentang kelab besar. Saingan kompetitif dalam liga juga membuktikan bahawa Liga Perdana Inggeris sememangnya layak digelar sebagai liga yang paling mencabar di dunia.

Pasukan seperti Wolverhampton Wanderers sudah mula membuktikan kebolehan pasukan biasa. Pada musim lepas, Wolves mencatat rekod cemerlang menentang pasukan yang dibarisi pemain bintang seperti Manchester United, Arsenal, dan Chelsea.

(Photo by Emma Simpson – Everton FC/Everton FC via Getty Images)

Beberapa minggu lepas, penyandang juara liga Manchester City pula dikejutkan setelah tewas 3-2 di tangan pendatang baru, Norwich City. Keputusan sebegini sudah terang lagi bersuluh membuktikan bahawa mana-mana pasukan dalam Liga Perdana Inggeris mampu mendapat kemenangan. Status pasukan gergasi hanya kekal pada nama, tetapi persembahan diatas padang yang akan menentukan keputusan diakhirnya.

(Photo by Andrew Powell/Liverpool FC via Getty Images)