Santi Cazorla merupakan satu nama yang sangat sinonim dengan kelab bola sepak di Sepanyol, Villareal.
Secara sejarah ringkas, Cazorla merupakan tonggak utama di Villareal sebelum menyertai Arsenal selama enam tahun. Kemudian, Cazorla kembali ke pangkuan Villareal untuk meneruskan kelangsungan karier bola sepaknya yang kelihatan sedikit muram selepas menghadapi kecederaan.
Sepanjang 180 penampilan, pemain yang mempunyai kebolehan menggunakan kedua-dua belah kaki ini telah menyumbang 29 jaringan gol termasuk gol menentang pasukan seperti Manchester United, Liverpool, Tottenham Hotspur serta gol penting sepakan percuma ketika membantu Arsenal bangkit untuk menewaskan Hull City 3-2 pada perlawanan akhir Piala FA 2014. Kecederaan tendon achilles hampir menamatkan karier Cazorla dalam bola sepak. Cubaan demi percubaan telah dilakukan untuk kembali beraksi tetapi menuju ke jalan buntu.
https://twitter.com/gunnervideos/status/1165575834419249152
Kebangkitan luar biasa pemain berusia 34 tahun ini wajar dicontohi. Bekas pemain antarabangsa Sepanyol ini telah mengambil keputusan untuk kembali menabur bakti kepada pasukan lamanya, Villareal pada musim lepas. Peluang yang diberikan telah dimanfaatkan sebaiknya oleh Cazorla. Pada musim lepas, pemain tengah ini berjaya menghasilkan empat gol daripada 35 perlawanan liga. Lebih menarik perhatian, dua daripada empat gol tersebut hadir ketika pasukannya mengikat Real Madrid 2-2.
Setakat ini, Cazorla yang juga merupakan ketua pasukan Villareal telah menjaringkan empat jaringan gol daripada tujuh perlawanan. Selaku pengambil sepakan penalti buat Villareal, ianya sedikit sebanyak membantu dalam memudahkan Cazorla mencatat nama sebagai penjaring. Pada minggu lalu, Cazorla berjaya menghasilkan gol jarak jauh ketika menentang Barcelona dalam perlawanan yang menyaksikan Villareal tewas 2-1.
Terbaru, Cazorla menyumbang satu gol untuk membantu pasukannya membelasah Real Betis 5-1, sekaligus melonjakkan kedudukan pasukan untuk berada dalam kelompok 10 pasukan teratas.
Kecekalan dan ketabahan yang ditunjukkan Cazorla perlu dijadikan contoh buat semua pemain bola sepak dunia. Walaupun kecederaan berat melanda, namun tiada apa yang mampu menjadi penghalang melainkan diri sendiri. Peranan yang dimainkan oleh Cazorla di Villareal begitu penting sekali. Sebagai pemain senior, Cazorla juga mampu menjadi contoh di dalam dan luar padang terutama kepada pemain muda yang berada dalam pasukan utama.