Malaysia

Mampukah Selangor bangkit?

The Red Giants akan melayan kunjungan Perak pada perlawanan suku akhir kedua Piala Malaysia 2019.

Skuad The Bos Gaurus berjaya membawa bekalan satu gol ketika menang tipis 1-0 pada perlawanan suku akhir pertama di Ipoh. Gol cantik jaringan pemain kebangsaan, Brendan Gan memberikan sedikit kelebihan kepada Perak.

Berdasarkan prestasi semasa, kedua-dua pasukan mempunyai peluang yang seimbang untuk layak ke separuh akhir. Kedua-dua pasukan memiliki pemain berpengalaman dan pemain muda yang berkualiti untuk diketengahkan.

Bagi pasukan Selangor, prestasi cemerlang yang dipamerkan Khyril Muhymeen Zambri pasti menjadi taruhan. Impak yang ditunjukkan pemain yang berasal dari Kedah ini begitu cemerlang dengan membantu pasukan Selangor melepasi peringkat kumpulan. Ditambah pula dengan adanya khidmat pemain berpengalaman seperti Amri Yahyah, Syazwan Zainon, dan Muhd Fandi Othman di dalam skuad utama tentunya dapat menambah sengat dalam padang.

Kali terakhir Selangor merangkul Piala Malaysia adalah pada 2015 dan para penyokong setia pasukan ini pastinya mengimpikan hasil yang berbaloi selepas membawa masuk beberapa pemain berkualiti ke dalam pasukan. Beraksi di gelanggang sendiri akan menjadi satu kelebihan buat skuad kendalian B. Sathianathan ini. 

Namun, bagi skuad Mehmet Durakovic yang kecewa setelah ditewaskan Kedah pada perlawanan akhir Piala FA dua bulan lepas, mereka mengimpikan sesuatu bagi menebus kembali kekecewaan tersebut. Tidak dapat dinafikan lagi bahawa barisan skuad Perak begitu berkualiti sehinggakan enam daripada pemain mereka dipanggil untuk mewakili skuad kebangsaan. Nama-nama seperti Brendan Gan, Shahrel Fikri, Shahrul Saad, Nazirul Naim, dan J. Partiban sudah mula meniti di bibir para peminat bola sepak Malaysia atas kecemerlangan prestasi mereka.

Persamaan kedua-dua pasukan ini terletak kepada rekod persembahan di tempat sendiri dan tempat lawan. Selangor dan Perak mempunyai rekod yang agak baik di halaman sendiri tetapi tidak di tempat lawan. Selain itu, pemain import yang mereka miliki juga mempunyai tahap kualiti yang sama. 

Saingan masih terbuka buat kedua-dua pasukan. Persoalannya, adakah Selangor mampu untuk membenam ego Perak di hadapan penyokong sendiri atau Perak akan mara dengan mudah? Saksikan perlawanan suku akhir kedua yang akan berlangsung pada malam esok.