Kolum

Ajax kekal cemerlang

Penyandang Liga Eredivisie, Ajax Amsterdam yang melepaskan dua bintang muda Frenkie de Jong dan Matthijs de Ligt pada jendela perpindahan pemain lepas masih mengekalkan rentak cemerlang musim ini.

Dua kelab gergasi eropah, Barcelona dan Juventus berjaya menyambar bakat baru dari Ajax selepas menyaksikan persembahan cemerlang kedua-dua pemain sepanjang musim lepas. Namun, kehadiran muka baru seperti Quincy Anton Promes dan Edson Alvarez sedikit sebanyak mengubat luka para penyokong mereka.

Polisi yang dilaksanakan di Ajax dengan memberi peluang kepada pemain-pemain akademi untuk mewakili skuad senior merupakan satu perkara yang sangat baik. Seramai enam pemain akademi telah dinaikkan pangkat ke skuad elit. Kelibat pemain seperti Dominic Kotarski, Noa Lang, dan Jurgen Ekkelenkamp harus diberi perhatian kerana inilah bakal bintang yang akan mencipta nama di mata dunia.

Khidmat beberapa tonggak utama yang masih kekal seperti Donny van de Beek, Dusan Tadic, Hakim Ziyech, dan David Neres masih diperlukan oleh Erik ten Hag. Taktikal yang beliau terapkan iaitu 4-3-3 sentiasa menjadi igauan setiap pasukan lawan. Secara rekod, Ajax telah mencatatkan empat kemenangan dan dua seri serta mengekalkan rekod tanpa kalah setakat ini. 

Quincy Anton Promes mempamerkan corak permainan yang cukup cemerlang dan berkualiti. Beliau dilihat seolah-olah tiada masalah dalam menggantikan tugas yang ditinggalkan Frenkie de Jong. Peranan sebagai pemain tengah dalam formasi yang digunakan Erik ten Hag begitu penting sekali. Promes juga telah menyumbat dua gol semasa menentang PSV Eindhoven dan Lille. 

Skuad muda Ajax ini akan sekali lagi menyinar dalam kejohanan eropah. Mereka yang gagal ke peringkat akhir Liga Juara-Juara Eropah pada musim lepas pastinya mahu membalas dendam. Kekalahan dramatik keatas Tottenham Hotspur melalui peraturan jaringan gol di tempat lawan selepas terikat 3-3 menerusi agregat masih segar dalam ingatan para pemain dan penyokong. Kemampuan mereka dalam menumbangkan pasukan gergasi dan berpengelaman berpotensi untuk memacu langkah ke hadapan dalam memburu kejuaraan.