Malaysia Berita

e-Piala Malaysia permulaan baharu

Kejohanan sulung e-Piala Malaysia 2019 yang dilancarkan pada 25 September bakal menjadi medan permulaan Malaysian Football League (MFL) dan Gamesbond yang sudah kini dalam perancangan lebih besar melibatkan penyertaan seluruh penggiat sukan e-sukan itu bermula pada tahun depan.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MFL, Kevin Ramalingam, berkata, pihaknya kini dalam perancangan melancarkan liga yang berkonsepkan Piala FA pada musim depan dengan membuka ruang kepada semua peminat di seluruh negara.

Beliau optimis langkah itu akan membuatkan Liga Malaysia akan lebih popular tambahan e-sukan kini sudah menjadi sebahagian budaya golongan muda pada generasi kini.

“Kami dalam perbincangan melancarkan saingan berkonsepkan Piala FA dengan membuka penyertaan kepada secara umum di seluruh negara kerana mahu semua peminat dapat mengambil bahagian.

“Format pertandingan ini akan melibatkan pusingan kelayakan di seluruh negara dengan secara saingan kalah mati dan pemenang utama akan dikumpulkan di peringkat akhir.

“e-Piala Malaysia hanya akan terbuka kepada pemain-pemain utama yang mempunyai ranking tinggi manakala Piala FA untuk semua orang.

“ Sama seperti konsep Piala FA , kami harap ada kejutan dan akan ada pemain baharu muncul pada saingan ini serta menjadi platform kepada mereka menunjukkan bakat, ” katanya.

Kevin ditemui pada majlis Sidang Majlis Undian dan Sidang Media e-Piala Malaysia 2019 dengan kejohanan sulung ini akan libatkan lapan pemain yang mewakili pasukan yang layak ke saingan suku akhir Piala Malaysia.

Lapan atlet esports yang terpilih merupakan pemain utama Malaysia di FIFA Global Leaderboard serta pernah mewakili negara dalam kejohanan sukan antarabangsa.

Format saingan akan bermula di suku akhir dan separuh akhir dengan dua wakil yang berjaya ke pentas akhir akan beraksi di perlawanan sebenar di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Jelas Kevin, MFL sentiasa mengorak langkah mengikut arus perubahan bagi memastikan sukan bola sepak terutama Liga Malaysia kekal relevan dalam memikat generasi muda melalui pembabitan dalam e-sukan ini.

“ Melihat kepada golongan muda hari ini, mereka terdedah kepada cara hidup baharu yang mana mereka sentiasa mahukan sesuatu yang boleh dilihat serta dimainkan di mana-mana.

“ Jadi memastikan kami sentiasa relevan kepada generasi akan datang, ini merupakan satu cabaran utama kepada kita melalui penggunaan platform seperti ini.

“ Kita sama sekali tidak boleh melupakan pada masa depan sehingga tersekat dengan apa yang kita sedang lalui atau paa masa lampau jika mahu pastikan sukan ini kekal sampai bila-bila, ” katanya.