Futsal

Selangor juara

Skuad futsal Selangor merangkul kejuaraan Liga Premier Futsal Malaysia walaupun masih lagi berbaki satu perlawanan. Ini ekoran keputusan seri yang melibatkan pencabar terdekat, Pahang yang diikat 3-3 oleh Perak. 

Selangor yang mendahului Pahang dengan empat mata sudah sah bergelar juara dan akan menjulang piala pada hujung minggu ini. Skuad kendalian Addy Sharullyzam mencatat 12 kemenangan dan dua seri serta hanya tewas sekali sepanjang liga berlangsung.

Facebook FAM

 

Selangor yang dibarisi lima pemain futsal kebangsaan seperti Syed Aizad, Muhammad Azri, Muhammad Fariq, Muhammad Akmal Hakimi, dan Azrul Hadee telah menghasilkan 58 gol. Tonggak utama Selangor, Muhammad Fariq berpeluang untuk menggodol anugerah penjaring terbanyak jika beliau mampu menyumbat lebih daripada tiga gol pada perlawanan terakhir.

Sementara itu, skuad Pahang sedikit kecewa selepas gagal mengutip tiga mata pada perlawanan menentang Perak. Skuad Tok Gajah yang mempunyai beberapa pemain berpengalaman gagal mengekang kelincahan pemain Perak, Ridzwan Bakri yang seringkali memberi ancaman ke gawang gol. 

Untuk rekod, Pahang adalah pasukan yang telah menjaringkan gol terbanyak setakat ini dengan 69 jaringan.