Eropah

City berpesta gol

Manchester City kembali bangkit setelah dimalukan pasukan yang baru dinaikkan pangkat, Norwich City minggu lalu. Beraksi di gelanggang sendiri, Manchester City berpesta jaringan setelah meratah Watford 8-0. 

The Citizens memperoleh gol seawal minit pertama menerusi David Silva yang menerima umpanan cantik pemain tengah Belgium, Kevin De Bruyne. Pasukan tuan rumah menambah jaringan kedua enam minit kemudian melalui sepakan penalti Sergio Aguero. Pada minit ke-12, Riyad Mahrez menambah duka Watford dengan menjaringkan gol melalui sepakan percuma dari luar kotak penalti.

Bernardo Silva dan Nicolas Otamendi masing-masing menjaringkan gol dalam masa tiga minit untuk menjadikan kedudukan 5-0. Penguasaan bola ternyata didominasi tuan rumah yang hanya memberikan pasukan pelawat membuat empat percubaan tepat kearah gol.

Pemain sayap Portugal, Bernardo Silva melengkapkan hatrik pertama beliau buat Manchester City pada separuh masa kedua sebelum Kevin De Bruyne meletakkan nama beliau di dalam senarai nama penjaring. Kemenangan besar ini melonjakkan mereka ke tangga kedua dengan 13 mata dua mata di belakang pendahulu liga, Liverpool.

Sejarah tercipta apabila kemenangan 8-0 tersebut merupakan kemenangan terbesar buat City dalam Liga Perdana Inggeris. City juga merupakan pasukan pertama yang berjaya menjaringkan lima gol pantas dalam masa 18 minit  bagi saingan Liga Perdana Inggeris. Ternyata, kekalahan kepada Norwich City menjadi pembakar semangat buat anak buah Pep Guardiola yang turut mencatat kemenangan 3-0 keatas Shakhtar Donetsk pada perlawanan pembukaan kumpulan C dalam kancah Liga Juara-Juara Eropah.