Kolum

VAR tidak relevan

Penerimaan kehadiran Video Assistant Referee (VAR) ke dalam kancah Liga Perdana Inggeris mula menunjukkan tanda-tanda negatif dikalangan peminat bola sepak. Ia merupakan satu daripada sembilan peraturan baru yang dilaksanakan bermula musim 2019/2020.

Hujung minggu lepas, VAR menjadi penghalang buat beberapa pasukan yang dalam usaha untuk mengutip mata. Pada perlawanan di Stadium King Power, VAR terpaksa membatalkan dua gol yang dihasilkan kedua-dua pasukan tuan rumah, Leicester City dan pasukan pelawat, Tottenham Hotspur. Gol pendahuluan yang dihasilkan pemain tengah The Foxes, Wilfred Ndidi terpaksa dibatalkan kerana berada dalam kedudukan ofsaid. 

Perkara yang sama turut terjadi kepada Spurs yang dibatalkan jaringan kedua hasil rembatan padu Taguy Ndombele. Gol dibatalkan atas sebab kedudukan Heung Min Son yang ofsaid. Pasukan Chelsea juga menerima nasib yang sama apabila gol penyamaan Cesar Azplicueta tidak dikira kerana kedudukan Tammy Abraham yang ofsaid ketika serangan dilancarkan.

VAR sebenarnya menjadi duri dalam daging bagi setiap pasukan yang menjadi mangsa dalam liga. Namun adakala ianya bertindak sebagai penyumbang kepada pasukan yang bertuah. Sistem ini seperti membunuh semangat pemain bola sepak kerana bersifat terlalu teknikal. Kini, sudah tiada lagi perbincangan kontroversi yang menjadi bualan peminat bola sepak. Semakin mudah juga jalan bagi pasukan yang mampu memanfaatkan sistem ini. 

Sebagai contoh, Manchester City menjadi mangsa sebanyak dua kali ketika menentang Tottenham Hotspur iaitu pada awal musim ini dan juga ketika saingan suku akhir Liga Juara-Juara Eropah musim lepas. Dua kali dinafikan kemenangan berharga, ianya menjadi satu luka pedih buat City untuk menerima kehadiran VAR. Namun sebaliknya, Spurs menerima manfaat dengan kewujudan VAR yang membawa mereka ke peringkat separuh akhir Liga Juara-Juara Eropah serta menyelamatkan mereka daripada tewas ditangan City pada 18 Ogos lepas.

Pelaksanaan sistem VAR perlu dikaji semula demi mengekalkan kualiti perlawanan dan menghidupkan roh bola sepak sebenar yang percaya akan wujudnya tuah dan nasib.