Luar Negara Berita

Ini sebab mengapa kontrak Shinji Okazaki ditamatkan selepas 34 hari

Bekas penyerang Leicester City, Shinji Okazaki telah menamatkan kontraknya dengan Malaga selepas hanya 34 hari berada di kelab terbabit.

Kontrak Okazaki dengan Leicester tamat pada akhir musim lalu, selepas empat tahun dengan Foxes dia menandatangani kontrak satu tahun dengan Malaga pada 30 Julai.

Lebih kurang sebulan kemudian, pemain Jepun itu telah menamatkan kontrak disebabkan beberapa janji yang gagal dipenuhi oleh Malaga.

Antaranya adalah soal gaji yang gagal dipenuhi oleh pihak Malaga biarpun sebelum ini dilaporkan Malaga bersetuju untuk membetulkan bajet yang telah disediakan bagi memenuhi tuntutan pemain kelahiran Jepun ini.

Selain daripada itu, pasukan yang bermain di divisyen kedua liga Sepanyol itu turut gagal menjanjikan tempat buat Okazaki beraksi sehingga beliau telah digugurkan daripada skuad kebangsaan Jepun menjelang kelayakan Piala Dunia 2023.

Dalam satu kenyataan di akaun Twitternya, Okazaki berkata, “Hello Malaguistas, pertama sekali saya ingin mengucapkan terima kasih atas kasih sayang yang besar yang kamu berikan kepada saya selama saya disana.

“Saya ingin mengucapkan selamat tinggal dan selamat maju jaya kepada rakan sepasukan dan kakitangan yang sentiasa membuatkan saya terasa seperti dirumah. Saya tidak menyesal, saya tidak akan melupakan masa saya dengan anda.

“Jika suatu hari saya mempunyai peluang untuk mewakili Malaga CF, saya tidak akan ragu-ragu.”

Okazaki kini bebas untuk mencari kelab baru, meskipun fakta bahawa jendela perpindahan Eropah sudah ditutup.

Pemain kebangsaan Jepun ini adalah antara pemain penting yang berjaya memenangi gelaran liga pada 2016 dan bertanggungjawab menjaringkan gol kemenangan pada perlawanan menentang Everton dan Newcastle United.