Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bersedia untuk membantu perkembangan skuad negara dengan melantik pakar psikologi di masa hadapan sekiranya langkah ini mampu memberi kelebihan mental kepada pasukan.
Badan induk bolasepak negara sentiasa bersikap terbuka bagi membantu skuad negara dalam menguatkan mental pemain tetapi inisiatif ini hanya akan dibuat sekiranya ada permintaa dari pengendali negara, Tan Cheng Hoe.
Perkara ini dijelaskan sendiri oleh Presiden FAM, Datuk Mohd Yusoff Mahadi yang sedar bahawa bukan sahaja kekuatan fizikal perlu dititikberatkan tetapi ia juga merangkumi kekuatan mental.
Dalam laporan yang dikeluarkan oleh BH Sukan, FAM akan memantau situasi terbabit dan akan berbincang mengenainya.
Malaysia bakal bertemu Indonesia di Jakarta pada 5 September nanti dengan saingan dijangka sengit apabila kedua-dua pasukan jiran bertemu.
Sebelum itu, skuad negara bakal menggunakan aksi persahabatan bertemu Jordan, Jumaat ini sebagai persiapan bagi menghadapi saingan Kelayakan Piala Dunia 2022 dan Piala Asia 2023.