Futsal Berita

Pahang buru gelaran juara

Setelah tampil dengan aksi bertenaga untuk meleburkan rekod tanpa kalah pendahulu liga, Selangor pada Rabu lalu, Pahang Rangers kini dilihat berada dalam landasan tepat untuk memburu gelaran juara sulung Malaysian Premier Futsal League (MPFL).

Kemenangan 4-2 pada aksi di Stadium Tertutup SUKPA itu menyaksikan Pahang Rangers kini hanya satu mata di belakang Selangor, dan mempunyai baki satu perlawanan dalam tangan.

Bagi ketua jurulatih, Taufik Yaiyah, dia tidak mahu barisan pemain dibuai dengan kejayaan manis itu sebaliknya berharap mereka akan terus mengalihkan fokus untuk aksi yang seterusnya.

“Kita berhak untuk meraikan kemenangan tempoh hari, berhak untuk bergembira. Ia suasana yang sungguh mengujakan dan pemain-pemain telah melakukan tugas mereka dengan cukup baik. Ia tiga mata yang sangat berharga dalam memastikan kita kekal sebagai pencabar.

“Sekarang kita lupakan tentang aksi Selangor, kita pandang ke depan, perjuangan belum selesai. Kita belum boleh fikir pasal kejuaraan, kita perlu ingat ada enam lagi perlawanan dan empat perlawanan daripadanya adalah di tempat lawan. Jangan buat silap, kita perlu kerah prestasi terbaik untuk menang semua baki perlawanan.

“Jika kita impikan kejuaraan, ia tidak lagi bergantung kepada pasukan lain, semuanya di tangan kita sendiri. Kalau kita menang semua perlawanan, maka secara sendirinya kita akan bergelar juara, kita tidak perlu harapkan bantuan atau ehsan pasukan lain. Jadi saya berharap pemain akan sahut cabaran dan menyerlahkan prestasi terbaik, jangan cicirkan mata,” ujar Taufik.

Aksi menentang Selangor tempoh hari menyaksikan Pahang Rangers beroleh dua jaringan menerusi Firdaus Ambiah serta satu masing-masing menerusi Norkhairi Abdul Rahman dan Azwann Ismail manakala Red Giants pula membalas menerusi Fariq Mohd dan Samsul Akmar Zamri.

Selepas ini, Pahang Rangers akan bermain dua perlawanan di tempat lawan bermula dengan menentang Kedah di Alor Star pada 27 Ogos disusuli perlawanan menentang Terengganu di Kuala Terengganu pada 31 Ogos.