Kolum

Masih wujudkah penyokong yang setia?

Dalam satu kajian yang dilakukan di United Kingdom terdapat hampir separuh daripada anak muda di sana yang meminati lebih daripada satu kelab.

Dan ianya telah membawa kepada persoalan yang lebih dalam ; Masih adakah orang yang setia dengan kelab kegemaran mereka?

Persoalan ini sering menjadi tanda tanya buat penulis dan ia mengingatkan kepada suatu pengalaman lama yang pernah terjadi.

Ianya berlaku beberapa tahun yang lalu, ketika Chelsea masih dikendalikan oleh Jose Mourinho dan Liverpool dikendalikan oleh Brendan Rodgers. Tahun tersebut, Liverpool dilihat sebagai pencabar utama untuk memenangi takhta Liga Perdana Inggeris.

Tahun tersebut juga dilihat berlaku ‘penghijrahan’ yang besar terhadap kumpulan teman-teman penulis – daripada menjadi penyokong Chelsea, mereka beralih ke Liverpool. Mereka mula bersorak nama Luis Suarez dan menyanyikan lagu You’ll Never Walk Alone.

Seolah-olah darah mereka sudah sebati dengan Liverpool dan nadi mereka berdegup sama kencang dengan Anfield.

Alasan yang mereka berikan apabila ditanya mengapa berubah daripada satu kelab ke satu kelab yang lain adalah ; permainan mereka cantik, pemain kegemaran mereka bermain di sana dan ada juga yang menjawab – mahu rasa kelainan.

Tetapi perubahan itu akhirnya dikecewakan oleh pemain kesayangan mereka, legenda kelab Liverpool, Steven Gerrard.

Kajian di UK

Keadaan ini sebenarnya wujud sudah lama lagi, mahu atau tidak, berjuta anak muda di negara-negara lain lebih suka mengikuti lebih daripada satu kelab berbanding setia dengan satu kelab.

Dalam satu kajian yang dikeluarkan oleh COPA 90, mereka telah merekodkan lebih 46% anak muda berumur 16 sehingga 24 tahun menyokong sekurang-kurangnya dua pasukan manakala 27% telah direkodkan menyokong lebih daripada dua pasukan.

Alasan yang digunakan oleh anak muda ini adalah mereka lebih suka mengikuti pemain kegemaran mereka berbanding mengikuti pasukan kegemaran mereka.

Sebagai contoh, pada musim lalu, Ronaldo telah membuat perpindahan keluar daripada Real Madrid menuju ke Juventus. Menurut laporan yang dikeluarkan oleh TIFO, laman Twitter rasmi Real Madrid telah kehilangan lebih daripada satu juta pengikut disebabkan Ronaldo.

Manakala media sosial kelab gergasi Itali, Juventus terus menunjukkan peningkatan selepas pemain itu menyertai mereka.