Malaysia Berita

Luqman Hakim masih belum ‘siap sepenuhnya’

Malaysia sedang menuju ke satu arah untuk menaikkan mutu bola sepak negara dan dalam perjalanan tersebut, lahirnya satu bintang yang bermain di posisi penyerang.

Luqman Hakim Shamsudin, pemain skuad bawah-18 tahun negara (B-18) dan antara nama anak muda yang disebut-sebut bakal mengikut jejak langkah beberapa lagenda negara.

Terhasil daripada produk Akademi Mokhtar Dahari (AMD), Luqman tidak asing lagi dalam turut sama memeriahkan suasana bola sepak Malaysia.

Beliau telah beberapa kali dilihat antara pemain yang konsisten dalam menyumbang kepada ketakutan pihak lawan apabila berhadapan dengan skuad negara.

Luqman telah menunjukkan prestasi yang cemerlang sepanjang diturunkan sebagai pemain utama serta mempunyai teknik yang baik dan garang di hadapan pintu gol.

Pada kejohanan Piala AFF B-18 yang berlangsung di Vietnam, Luqman telah menjaringkan empat gol untuk membantu skuad negara sampai ke pentas akhir menentang Australia.

Tahun lalu, penyerang kelahiran Kelantan telah dinobatkan sebagai pemenang Kasut Emas pada aksi Kejohanan Piala AFF Bawah 16 tahun

Perjalanan Luqman Masih Jauh

Tetapi pandangan pengendali skuad senior negara, Tan Cheng Hoe nyata berbeza buat Luqman.

Bagi Tan Cheng Hoe, pemain muda kelahiran AMD ini masih belum ‘siap’ sepenuhnya biarpun telah berjaya menunjukkan aksi yang konsisten sepanjang mewakili skuad negara.

Tambah Tan Cheng Hoe lagi, ianya terlalu awal untuk meletakkan Luqman bersama dengan skuad senior negara, beliau risau akan mengganggu pembanggunan permainan dan akan memberi tekanan kepada Luqman.

Bekas pengendali Kedah juga menyatakan minat untuk melihat Luqman maju lebih jauh ke hadapan.

“Dia pasti mempunyai masa depan yang hebat dan berpotensi untuk menjadi sebahagian daripada pasukan kebangsaan.

“Luqman perlu bekerja keras dan tidak merasakan bahawa dia telah mencapai sesuatu. Kerana, ini hanya langkah pertama untuknya.” Kata Tan Cheng Hoe.