Malaysia Berita

Tan Cheng Hoe persiap skuad hadapi kelayakan Piala Dunia dan Piala Asia

Skuad kebangsaan bakal menyantuni Jordan pada aksi persahabatan yang bakal berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil, 30 Ogos nanti.

Menerusi kenyataan yang dikeluarkan di laman sesawang Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), seramai 27 orang telah dipanggil ke latihan pusat.

Selepas pertemuan dengan Jordan, Cheng Hoe bakal mengumumkan senarai akhir 23 pemain yang akan menyertai misi ke Jakarta bagi perlawanan sulung pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 bertemu Indonesia pada 5 September ini.

Sembilan muka baharu.

Brendan Gan kembali menyertai latihan pusat skuad Harimau Malaya selepas dipanggil oleh pengendali skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe yang dijadualkan bermula pada 25 Ogos nanti.

Selain Brendan Gan, empat lagi pemain Perak iaitu penjaga gol, Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy, J Partiban dan Nazirul Naim Che Hashim turut dipanggil Cheng Hoe.

Bekas jurulatih Kedah turut memanggil dua pemain FELDA United iaitu Hadin Azman dan Danial Amier Norhisham serta Ahmad Hazwan Bakri (JDT) dan Jafri Firdaus Chew (PKNS FC).

Manakala lima pemain telah digugurkan daripada skuad Harimau Malaya ketika menentang Timor Leste pada pusingan pertama kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 pada Jun lalu – Syazwan Andik, Faisal Abdul Halim, Syazwan Zainon, Kenny Pallraj dan penjaga gol, Zarif Irfan Hashimuddin.

Lima lagi pemain – Khairulazhan Khalid (Selangor), Amirul Azhan Aznan (Perak), Rawilson Batuil dan Azzizan Nordin (Sabah) serta Syazwan Andik – diletakkan dalam senarai bersedia.