Kolum

Adakah penyokong Liverpool perlu menekan butang panik?

Liverpool telah berjaya melengkapkan perpindahan masuk penjaga gol baharu, Adrian dari West Ham selepas mereka menjual Mignolet kepada Club Brugge, Belgium.

Biarpun telah berjaya mendapatkan khidmat penjaga gol baharu, penyokong Liverpool masih tidak berpuas hati dengan polisi perpindahan untuk musim ini.

Dari pagi sehingga ke malam peminat Liverpool menyuarakan pendapat mereka tentang siapa yang patut di beli dan siapa yang patut di jual dan dari pagi sehingga malam juga mereka menyuarakan rasa tidak puas hati dengan polisi perpindahan Jurgen Klopp.

Ia boleh dikatakan bahawa penyokong Liverpool mula panik selepas melihat pasukan-pasukan lain memborong pemain baharu bagi menguatkan pasukan, terutamanya Manchester City.

Pasukan kendalian Pep Guardiola telah menyambut kedatangan Rodri baru-baru ini, manakala Arsenal pula telah mendapatkan Nicolas Pepe dan musuh tradisi mereka, Manchester United telah berjaya mendapatkan Harry Maguire, semalam.

Tetapi jika kita melihat dari perspektif yang berbeza, peminat dan penyokong Liverpool seharusnya meletakkan kepercayaan kepada pemilik kelab dan juga pengendali Liverpool, Jurgen Klopp.

Sememangnya penyokong Liverpool mempunyai asas untuk menyuarakan pendapat mereka dan mengkritik pasukan kerana tidak mahu ketinggalan di belakang serta membenam impian mereka untuk memenangi Liga Perdana Inggeris.

Satu perkara yang perlu dilihat oleh para penyokong Liverpool adalah betapa hebatnya mereka bermain musim lalu, dengan satu mata membezakan mereka dengan juara Liga Perdana Inggeris, Manchester City dan merekodkan satu kekalahan pada aksi liga musim lalu.

Biarpun gagal menjulang Liga Perdana, memori manis di pentas Eropah tidak akan dilupakan dengan mereka berjaya bangkit ketika bertemu Barcelona di pentas separuh akhir dan menewaskan Tottenham Hotspurs pada perlawanan akhir untuk menjulang kejuaraan Eropah.

Rekod-rekod besar ini hadir ketika mana Liverpool menghadapi masalah kecederaan semasa krismas tahun lalu.

Tambahan daripada itu, Jurgen Klopp mempunyai keupayaan untuk menukar bahagian tengah tanpa lari dari asas bola sepak yang diterapkan beliau.

Adam Lallana sebagai contoh, jarang diturunkan dan banyak memanaskan bangku simpanan, tetapi persembahan beliau ketika menentang Burnley musim lalu telah berjaya menangkap mata ramai orang. Begitu juga dengan Fabinho dan Keita, jika mereka berdua diturunkan, kita tahu apa yang mereka mampu hasilkan.

Jadi adakah penyokong Liverpool perlu menekan butang panik dengan aktiviti perpindahan yang kurang dari Liverpool?

Jadual liga perdana masih panjang dan ianya masih sukar untuk dilihat dengan jelas pasukan mana yang berjaya dan pasukan mana yang bakal jatuh.

Tetapi apa yang pasti, skuad Liverpool mempunyai barisan pemain yang baik untuk bertanding di kelas tertinggi dan mencabar Liga Perdana Inggeris sekali lagi.

Dengan barisan pemain sedia ada dan kemampuan Jurgen Klopp dalam menafsirkan taktikal yang beliau mahukan, Liverpool masih mempunyai peluang untuk bersaing.