Kolum

Adakah nasib Kubo dibawa ke Castilla atau pasukan utama Real Madrid?

Mungkin tidak banyak perkara positif yang terjadi kepada pasukan Real Madrid sepanjang aksi pra musim ini, tetapi persembahan yang ditampilkan oleh Takefusa Kubo sedikit sebanyak memberi peluang kepada peminat Real Madrid untuk mengimpikan sesuatu pada masa akan datang.

Dengan liga yang bakal berlangsung pada 17 Ogos nanti, Real Madrid masih gagal menunjukkan taring yang sebenar apabila merekodkan tiga kekalahan dalam lima perlawanan persahabatan.

Manakala bintang baharu mereka, Eden Hazard pula dilaporkan hadir ke kem pra musim dengan berat badan yang lebih dan masih mencari keserasian bersama kelab Sepanyol.

Lalu hadir bintang muda Jepun yang telah diundi sebagai pemain terbaik perlawanan oleh GIVEMESPORT ketika Real Madrid turun menentang Ferbanche minggu lalu dan membuatkan para penyokong tertanya-tanya adakah Los Blancos bakal meletakkan dia di Castilla atau pasukan utama?

Terdapat kekurangan yang masih perlu diperbaiki oleh Kubo dan beliau masih memerlukan pendedahan yang lebih untuk menembusi pasukan utama, tetapi semua orang percaya bahawa pemain berusia 18 tahun ini bakal naik menjadi bintang.

Zinedine Zidane mungkin muak dengan soalan-soalan media yang meminta beliau untuk memberi komen masa hadapan Gareth Bale dan James Rodriguez tetapi persembahan Kubo telah memberikan beliau sedikit senyuman.

Menurut laporan Marca, Zidane akan menghadapi masalah dengan undang-undang yang menghadkan pemain bukan EU dengan skuadnya sudah mempunyai tiga tempat yang telah diambil oleh Fede Valverde, Eder Militao dan Vinicius Junior.

Keyakinan diri yang ditunjukkan oleh Kubo di atas padang telah membuatkan para peminat percaya bahawa beliau bakal menjadi seorang bintang dari Asia yang berada di kelab terbesar dunia.

Perlawanan pra musim ini juga telah membuktikan kelainan yang mampu dibawa oleh Kubo dengan peningkatan tempo perlawanan – satu ketika beliau diletakkan di bangku simpanan dan satu ketika beliau dimasukkan.

Disebabkan itu ramai yang mengharapkan bahawa beliau mampu untuk mengisi kekosongan yang dicari oleh Zidane dan membantu mereka untuk bangkit kembali.