Liga Super Malaysia Berita

Kedah kena berebut tempat dengan Selangor dan Melaka United

Pahang telah disahkan menduduki tangga ke dua Liga Super semalam selepas berjaya mencatat keputusan seri menentang Felda United.

Fokus para penyokong bola sepak sekarang terarah kepada pasukan Kedah, Selangor dan Melaka United di mana masing-masing mempunyai peluang untuk menamatkan Liga Super di kelompok tiga terbaik.

Kedah dan Selangor berkongsi 34 mata tetapi Helang Merah berjaya meletakkan diri mereka di tempat ketiga dan Red Giants di tempat keempat dengan perbezaan jaringan.

Melaka United pula berada di tangga ke lima dengan hanya dibezakan satu mata oleh Kedah dan Selangor.

Masing-masing bakal menghadapi perlawanan terakhir liga musim ini pada 21 Julai nanti dengan Kedah bakal bertemu Felda United, Selangor dijadualkan bertemu PKNS FC dan Melaka United pula akan turun menentang Pahang.

Justeru, bagi kapten pasukan Kedah, Baddrol Bakhtiar beliau tetap optimis dengan cabaran yang bakal dihadapi skuad Helang Merah memandangkan perebutan kelompok tiga terbaik masih terbuka.

Berkata kepada Harian Metro, beliau berharap rakan sepasukan dapat memberi aksi terbaik ketika menentang Felda di Stadium Tun Abdul Razak Jengka bagi memastikan tiga mata penuh menjadi milik Kedah sekaligus meletakkan mereka di tangga ketiga Liga Super.

“Dalam perlawanan yang terakhir di Jengka ini juga kami mahu kekalkan aksi yang konsisten dan meneruskan rentak kemenangan seperti yang diperolehi ketika menentang Perak minggu lalu.” Katanya.