Luar Negara Berita

Saha kecewa dengan United

Bekas penyerang Manchester United, Louis Saha jelas tidak berpuas hati dengan aktiviti perpindahan pemain Red Devils apabila hanya berjaya melengkap perpindahan masuk dua pemain.

Dua pemain tersebut adalah Aaron Wan-Bissaka dari Crystal Palace dengan tanda harga sebanyak £ 50 juta dan juga Daniel James dari Swasea City yang menyertai United dengan yuran perpindahan sebanyak £ 18 juta.

Beliau yang hadir ke Johor Darul Ta’zim bagi menyertai perlawanan amal tidak dapat menyembunyikan perasaan kecewa dengan urusan perpindahan pemain United.

“Ia mengecewakan saya. Anda dapat melihat United bukan pasukan yang akan dipilih secara langsung kerana mereka tidak berada di Liga Juara-Juara dan mereka tidak mempunyai skuad terbaik sekarang.

“Peralihan ini membuat pemain-pemain hebat teragak-agak, ia akan menjadi misi besar untuk United dan para pengarah. Mereka mempunyai cabaran di tangan mereka.” katanya sewaktu sidang media bersama pemain-pemain.

Dalam masa yang sama, beliau turut menyatakan perasaan kecewa dengan pemain tengah Perancis, Paul Pogba yang dengan jelas menyatakan keinginan untuk keluar dari United.

“Saya agak kesal dengan itu, tetapi apa yang boleh anda lakukan?”

“Saya harap dia masih boleh kekal (bersama United), tetapi sukar kerana apabila anda menyatakan sesuatu, ia menjadi situasi yang sukar untuk dikendalikan. Ini tidak mudah bagi Ole (Gunnar Solskjaer). ”

Saha telah memenangi gelaran Liga Perdana Inggeris dan Liga Juara-Juara dalam tempoh empat tahun bersama United sejak 2004-2008.

Beliau menyertai perlawanan amal menentang skuad JDT TMJ semalam di Larkin bagi mengumpul dana buat Yayasan Kanser Tunku Laksama Johor semalam bersama-sama lagenda bola sepak yang lain.