Malaysia Berita

Liga Malaysia tawan Singapura

Penyokong bola sepak Singapura bakal berpeluang menonton bintang tempatan mereka yang beraksi di Liga Malaysia iaitu kapten Johor Darul Ta’zim (JDT), Harris Harun, Safuwan Baharudin (Pahang), Khairul Amri (Felda United) dan pemain Kedah, Shakir Hamzah.

Ini kerana stesen penyiaran Singapura, Singtel TV akan menyiarkan 30 perlawanan terpilih Liga Super Malaysia 2019, Shopee Piala FA dan Piala Malaysia bermula 29 Jun 2019 di saluran Mio Sports 111-113.

Perjanjian yang menyaksikan Reddentes Sports menandatangani hak penyiaran bola sepak Malaysia menerusi Singtel TV itu bakal menyiarkan sejumlah 30 perlawanan dari ketiga-tiga pertandingan itu termasuk separuh akhir dan final Piala Malaysia.

Meskipun JDT sudah mengesahkan kejuaraan Liga Super selepas menewaskan Melaka United 2-1 di Stadium Hang Jebat semalam dengan berbaki empat perlawanan, saingan liga utama itu tetap menarik sehingga ke penghujung musim.

Ini kerana penyokong Singapura pasti mahu menyaksikan percaturan jurulatih Kedah kelahiran Singapura Aidil Sharin serta bek tengah Shakir yang ‘bertempur’ dengan tonggak Pahang Safuwan bagi perebutan tempat kedua.

Perlawanan pertama yang akan disiarkan di Singtel TV bermula aksi Shopee Piala FA di antara Perak dan Pahang yang menyaksikan kelibat Safuwan untuk menggerakkan jentera tengah skuad Tok Gajah itu.

Disusuli aksi selepas itu pertembungan penyerang FELDA Khairul Amri menentang Aidil dan Shakir bersama Helang Merah.

Ketua Pegawai Eksekutif Malaysian Football League (MFL), Kevin Ramalingam berkata beliau cukup teruja Liga Malaysia terus mendapat tumpuan positif daripada negara jiran dan berharap kerjasama itu bakal memberikan manfaat besar kepada kesemua penyokong bola sepak di Asia Tenggara.

“Musim 2019 telah menjadi satu yang menarik dengan kehadiran beberapa bintang Singapura yang bermain di Malaysia.

“Kami sangat gembira melihat Singtel TV datang dalam perjalanan ini apabila kami berusaha untuk mempamerkan bola sepak Malaysia kepada penonton di luar negara. Kami berharap ini adalah permulaan kerjasama yang panjang di luar musim ini,” katanya.

Sementara itu, Reddentes Sports Managing Partner, Mark Chew berkata: “Peminat bola sepak di Singapura sentiasa mempunyai minat yang kuat terhadap Liga Super Malaysia dan Piala Malaysia.

“Dengan kapten pasukan kebangsaan Hariss dan bintang-bintang seperti Amri, Safuwan dan Shakir dalam pertandingan, ia adalah sesuatu yang kami sedang bekerja di Reddentes untuk masa yang lama.

“Peminat sekarang akan dapat menyaksikan beberapa Lions kegemaran mereka beraksi di atas padang bersama kelab mereka dan kami gembira telah memainkan peranan kami dalam menjadikan perkara ini menjadi kenyataan.”