Pengendali Selangor, B Sathianathan tidak akan menyalahkan faktor padang yang menjadi punca kepada kekalahan pasukannya di tangan Terengganu FC (TFC) pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, malam tadi.
Sebaliknya, mutu permainan anak buahnya kurang mencapai tahap yang diharapkan oleh beliau.
“Tahniah kepada TFC kerana mereka beraksi dengan baik dan sememangnya skuad itu layak untuk menang, kemenangan itu bukan kerana nasib tetapi mereka berhak menang dengan lebih banyak mencipta peluang berbanding kita walaupun pemain kita tertampan bola ke gol sendiri.
“Jika kita lihat pemain TFC sanggup berlari tetapi kita jalan kaki main bola, saya nampak hantaran kita yang melumpuhkan pertahanan kerana asyik hilang bola sedangkan TFC tidak hilang bola.
“Malah, 20 minit terakhir kita keletihan kerana tidak boleh kawal bola.
“Saya tak boleh bagi bagi alasan kekalahan disebabkan padang biarpun ada sedikit air disebabkan hujan sebaliknya kita perlu menyalahkan diri sendiri kerana tidak bermain dengan baik,” ujar Sathianathan.