Liga Super Malaysia Berita

MFL: Harap penyokong dapat datang semula ke stadium

Presiden Malaysian Football League (MFL) Datuk Hamidin Mohd Amin berharap para penyokong dibenarkan hadir semula ke stadium dan menonton perlawanan seperti sedia kala.

Dalam perutusan Hari Kemerdekaan Ke-63, Hamidin berkata harapan itu bersandarkan kepada semangat yang ditonjolkan oleh para penyokong terhadap pasukan kesayangan masing-masing, serta kecintaan terhadap bolasepak itu sendiri.

“Saya menyaksikan pasukan-pasukan serta juga penyokong begitu prihatin dan bersemangat membantu liga tempatan selepas aksi domestik ditangguhkan selepas pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac lalu,” katanya menerusi perutusan di akaun Facebook rasmi MFL.

“Sejujurnya, saya sangat tersentuh dengan semangat membara penyokong untuk kembali turun ke stadium sejak saingan Liga Malaysia 2020 ditangguhkan yang jelas membuktikan keprihatinan dan kecintaan mereka kepada bola sepak Malaysia.

“Harapan saya adalah mahu menyaksikan penyokong-penyokong kembali memeriahkan stadium-stadium berdekatan selepas pandemik COVID-19 berakhir kerana saya cukup yakin dengan tahap kepatuhan yang tinggi rakyat Malaysia, kita mampu memerangi penularan COVID-19.”

Hamidin berkata, meskipun penonton masih belum dibenarkan hadir ke stadium, beliau mahu penyokong ‘hadir’ dalam siaran langsung hari perlawanan Liga Malaysia.

“Buat masa ini, marilah kita bersama-sama memberikan sokongan padu kepada pasukan secara tontonan siaran langsung secara percuma yang diberikan oleh penaja Liga Malaysia, Telekom Malaysia (TM).

“Saya juga ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada TM yang cukup prihatin dengan kemahuan bola sepak negara dan bersedia menyalurkan siaran langsung CIMB Liga Super secara percuma.

“Justeru kita semua dapat menyaksikan sikap prihatin daripada pelbagai pihak dan saya sangat berharap sebagai rakyat Malaysia kita akan terus bersatu padu dengan menerapkan amalan perpaduan dan keharmonian.

“Bola sepak adalah platform terbaik dalam membentuk perpaduan dan saya berharap penyokong terus bersatu padu dalam memberikan sokongan agar mutu Liga Malaysia akan terus dapat ditingkatkan.
Akhir kata daripada saya, Merdeka! Merdeka! Merdeka!”.