Kajian & Analisis

Fokus pemain : Wujudkah peluang untuk Harry Wilson bersinar di Liverpool?

Harry Wilson tidak dapat dinafikan lagi mempunyai musim yang baik di Derby County. Rekod jaringan gol, bantuan dan beberapa momen yang mengagumkan telah menjadikan beliau antara bakat muda paling penting dari Wales.

Tetapi persoalannya, adakah beliau mempunyai masa hadapan di Liverpool?

Kejayaan Liverpool dalam menjadikan Trent Alexander-Arnold sebagai salah seorang pemain pertahanan terbaik dunia tidak dapat disangkal lagi apabila beliau sering mengisi kesebelasan utama Jurgen Klopp. Tetapi itu tidak menghentikan sidang jurulatih Liverpool untuk maju dan mencari lebih banyak bakat muda yang dilahirkan di Melwood.

Biarpun telah berjaya membuat penampilan dengan Wales sebanyak tiga kali dalam tempoh 12 bulan yang lalu, persoalan yang sering menjadi bualan peminat Liverpool adalah mengapa pemain tengah kreatif kelahiran Wales ini masih gagal mendapat tempat dalam pasukan utama Liverpool?

Untuk Wilson, ia adalah tentang menunggu masa yang tepat sebelum beliau diberi peluang di Liverpool.

Buat masa ini, Wilson akan menghabiskan harinya dengan mempersiapkan diri untuk kejohanan Championship Final Play-Off  selepas kejayaan pasukannya mencetus kebangkitan di Elland Road, kubu kuat Leeds United, di mana mereka layak secara penuh dramatik dan di anggap sebagai ‘perlawanan paling berharga.’

(photo by Roland Harrison/Action Plus via Getty Images)

Baru sahaja berumur 22 tahun, Wilson dilihat lebih berminat bermain di posisi nombor 10. Hadir dengan fleksibiliti dan juga serangan yang pelbagai, beliau telah menjadi watak penting kepada kebangkitan Derby musim ini dan telah menjadi pemain penting buat pengendali kelab terbabit, Frank Lampard.

Kemampuan beliau dalam menyempurnakan sepakan percuma telah menarik perhatian beberapa kelab musim ini dan paling diingati adalah sepakan percuma beliau ketika menentang Manchester United di Old Trafford dan ketika mewakili Wales pada perlawanan menentang Ireland di Dublin.

Wilson banyak menghabiskan masa di bahagian kanan padang, di mana menurut Who Scored, beliau telah menyempurnakan lapan gol dalam 13 penampilan bersama Derby dan telah membuktikan bahawa beliau mampu menjadi pemain sayap yang bahaya dengan hantaran dan cubaan ke arah pintu gol lawan.

Secara keseluruhannya, beliau telah membuat 39 penampilan dan telah menjaringkan 16 gol sepanjang musim di Championship, di mana beliau telah merekodkan purata 2.7 cubaan ke arah pintu gol lawan dalam setiap perlawanan dan telah melengkapkan 74.6% hantaran.

Untuk pemain berusia 22 tahun, ia adalah satu rekod yang baik dan telah membuktikan betapa matang serta yakinnya anak muda ini.

Selain daripada itu, cara permainan Wilson telah menjadikan beliau antara mangsa bentesan keras pihak lawan. Ini kerana sikap beliau yang suka masuk ke dalam kotak penalti lawan. Tambahan daripada itu, Wilson adalah antara pemain muda yang suka turun kebawah membantu bahagian pertahanan, satu cara permainan yang disukai oleh Klopp.

Statistik beliau berbanding dengan rakan sepasukan yang lain sangat menonjol. Tom Lawrence telah bermain di sayap kiri musim ini,  tetapi tidak memberi kesan yang besar kepada pasukan.

(Photo by Alex Dodd – CameraSport via Getty Images)

Walaupun Lawrence mempunyai minit perlawanan yang lebih banyak daripada Wilson musim ini, beliau gagal memberi impak kepada pasukan Frank Lampard.  Di mana beliau hanya menjaringkan empat gol dalam 19 perlawanan, secara puratanya Lawrence mempunyai 2.3 cubaan ke arah pintu gol lawan dalam setiap perlawanan dan melengkapkan hantaran beliau sebanyak 74.8%.

Beberapa pengkiritik bola sepak serta peminat Liverpool telah mempersoalkan tindakan pengurusan Liverpool untuk membenarkan Wilson keluar secara pinjaman buat kali kedua biarpun telah membuktikan bahawa beliau layak bermain untuk pasukan utama selepas aksi yang baik sepanjang dipinjamkan ke Hull City sebelum ini.

Beliau dilihat boleh bermain bersama-sama dengan tiga penyerang utama Liverpool, Sadio Mane, Mohamed Salah dan Roberto Firmino.

Apa yang kita boleh katakan disini adalah beliau gagal diberi peluang untuk membuktikan dirinya di Liverpool setelah beberapa aksi yang baik sepanjang tempoh pinjaman.

Mungkin Klopp telah memutuskan untuk membantu Wilson dalam menjadikan pemain yang lebih matang, keluar untuk tempoh pinjaman adalah jalan terbaik.

Setelah bermain sebanyak 3,366 minit untuk Derby dan telah membawa pulang tiga anugerah pemain terbaik perlawanan, musim depan mungkin masa yang terbaik untuk Wilson melakukan penampilan bersama Liverpool.