Liga Super Malaysia Berita

Pertemuan Felda, Melaka tempang tanpa import penting

Pertemuan di antara Felda United dan Melaka United pastinya menjanjikan aksi yang menarik dengan kedua-dua pasukan sedang memburu kemenangan.

Melaka United sebelum ini seri 1-1 dengan Selangor di Shah Alam serta menduduki tangga ke-6 Liga Super, manakala Felda United sudah pastinya turut dengan motivasi yang tinggi bagi memperbaiki kedudukan liga mereka apabila berada di tangga kedua tercorot liga dengan hanya 8 mata selepas 12 perlawanan.

Melaka pastinya akan turun kelebihan apabila bakal bermain di laman sendiri dan dalam pemburuan kemenangan ke lima selepas tewas empat perlawanan dan seri empat perlawanan.

Bagi pengendali Melaka, Zainal Abidin Hassan menuntut aksi cemerlang daripada para pemain agar kemenangan dapat dicatat.

Beliau akan mempertaruhkan import baharu, Luka Milunovic yang masuk menggantikan Liridon Krasniqi yang mengalami kecederaan sambil menyatakan bahawa tidak akan memasukkan mana-mana pemain import baharu lagi.

“Bagaimanapun setakat ini, tiada import sesuai untuk didaftarkan. Justeru aksi berdepan The Fighters di gelanggang sendiri menyaksikan kami hanya menurunkan empat import saja.

“Selain Milunovic, skuad Hang Tuah kini memiliki penyerang dari Brazil, Anselmo Casagrande, Jang Suk-Won (Korea Selatan) dan Patrick Reichelt (Filipina). Apapun saya amat yakin mereka tetap berusaha gigih membantu kemenangan pasukan, biarpun kurang rakan import,” katanya.

Bagi pengendali Felda United, Mohd Nidzam Jamil bersimpati dengan nasib penyerang baharu kelahiran Singapura, Khairul Amri Mohd Kamal yang dilaporkan mengalami kecederaan di bahu kiri pada perlawanan pertama beliau bertemu Kuala Lumpur, Sabtu lalu.

“Kita sangat memerlukan khidmat Khairul Amri bagi menambah ketajaman di bahagian serangan, namun terpaksa akur apabila dimaklumkan status kecederaan dialaminya.

“Kecederaan itu memerlukan tempoh sekurang-kurangnya dua minggu untuk pulih sebelum dia dapat kembali bersama pasukan,” katanya.