Jurulatih Terengganu FC (TFC), Irfan Bakti Abu Salim mahu anak buahnya bangkit mencatat kemenangan ketika bertemu PKNP FC pada saingan Liga Super pusingan kedua di Stadium Majlis Perbandaran Manjung, Perak.
“Kekalahan kita kepada PKNP di sini (Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah) April lalu cukup mengecewakan saya, ini kerana bukan lawan itu bermain bagus atau sebaliknya tetapi kita tewas kepada fizikal mereka.
“Jadi untuk aksi malam esok, kita tiada pilihan kecuali mengutip mata dan melupakan seketika aksi Piala FA sebaliknya pemain harus menumpukan aksi bertemu skuad itu nanti,” ujar Irfan.
Mengulas lanjut, Irfan menuntut pemainnya lebih yakin ketika beraksi dan perlu menepis tekanan apabila diasak.
“Jika corak permainan sama ditampilkan pemain ketika menundukkan Pahang pada Rabu lalu pada aksi suku akhir pertama Piala FA, peluang kami mengutip mata cerah.
“Harus diingat, semua pasukan yang beraksi dalam saingan liga memiliki kekuatan serta kelebihan tersendiri tetapi jika pemain yakin dan selesa menguasai bola, kita mampu mengejutkan lawan di laman mereka,” kata Irfan Bakti.