Malaysia Berita

Felda tak sabar jumpa JDT

Felda United bersedia menerima kunjungan pendahulu Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) yang bertandang ke Stadium Tun Abdul Razak, Jengka, malam ini.

Bagi pengendali Felda, Mohd Nidzam Jamil mahu para pemain memberi tekanan kepada barisan pemain JDT dan memberi saingan kepada mereka.

“Memang kita tahu rekod dan kemampuan JDT, kita tengok ketika aksi suku akhir pertama Piala FA menentang Pahang tempoh hari, mereka (JDT) dapat menyerap tekanan walaupun beraksi dengan 10 pemain.

“Ini adalah cabaran kepada kami dan saya tidak nampak kita ada kekurangan dari segi kualiti pemain dibandingkan pasukan mereka.

“Semuanya bergantung kepada mentaliti pemain, kalau mereka ingin menang dan meletakkan dalam fikiran untuk merekodkan kemenangan, sudah pasti kita dapat mengejutkan mereka,” katanya.

“Walaupun pasukan mereka (JDT) mempunyai pemain tempatan dan import yang hebat, ia bukan bermakna skuad Harimau Selatan tidak ada sebarang kelemahan.

“Perkara inilah yang saya sering maklumkan kepada pemain dan perubahan taktikal dilakukan saat akhir juga boleh membantu kita menjinakkan mereka, apatah lagi kita memiliki kelebihan beraksi di gelanggang sendiri,” katanya.