Malaysia Berita

Pemain kacukan Malaysia, Jerman sertai JDT III

Pemain berdarah Malaysia dari Frankurt, Jerman, Julian Johan Bechler bakal membuat kemunculan pertama dalam kancah Liga Malaysia (Liga M) apabila mencapai persetujuan untuk menyertai pasukan Johor Darul Ta’zim III (JDT III).

Beraksi di penjaga gol, Julian nyata teruja untuk membuat penampilan sulung dalam saingan Piala Presiden pada Jun depan sebaik sahaja semua urusan dokumentasi selesai.

“Disebabkan saya akan tamat pengajian di Frankfurt tahun ini, jadi saya fikir ini adalah satu peluang untuk saya mengembangkan kerjaya saya di negara lain. Saya memilih Malaysia kerana ibu saya berasal dari Malaysia dan saya mempunyai keluarga besar di sini.

“Lagipun, memang setiap tahun pada musim panas saya akan kembali ke Malaysia dan tahun lalu saya ada menjalani ujian dengan skuad bawah 19 tahun Malaysia di bawah kendalian jurulatih Bojan Hodak. Namun, pada ketika itu saya tidak mempunyai kad pengenalan Malaysia dan saya tidak boleh bermain.

“Bojan kemudiannya mencadangkan nama saya kepada JDT III dan mereka menawarkan kontrak kepada saya,” kata Julian kepada BH Sukan.