Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Stuart Ramalingam menyifatkan bahawa Liga Malaysia (Liga M) mampu berkembang setaraf dengan liga-liga terkemuka di rantau Asia.
“Bagi menjadikan liga bola sepak sebagai produk nasional yang boleh dieksport bermulanya di Asia Tenggara sebelum ke Asia dan dunia, kita perlu tahu kedudukan FAM dan bola sepak kebangsaan di mana situasi ini memerlukan kerjasama semua pihak.
“Ini bagi memastikan industri kita dapat terus membangun dan jika kita sekadar mengharapkan ia dimajukan oleh FAM mahupun Liga Bolasepak Malaysia (FAM), sudah tentu kita tidak ke mana.
“Sebagai contoh, arah tuju pergerakan La Liga adalah bersama Invest Spain dan juga Persatuan Bolasepak Sepanyol dan mereka juga mendapat kerjasama kerajaan. Jadi semua pergerakan ini menghala ke satu tujuan yang sama.
“Berdasarkan contoh ini, kita perlukan semua pemegang taruh supaya dapat bergerak dalam satu objektif namun bagi menjayakan sesuatu usaha, sudah tentu kita memerlukan masa,” katanya ketika ditemui pada Persidangan Bolasepak Dunia Asia (WFSA), kelmarin.
Beliau juga menjangkakan saingan dalam Liga M bakal berkembang lebih jauh dalam empat atau lima tahun akan datang.
“Bola sepak lebih semulajadi untuk kita bangunkan sebagai industri namun saya rasa kita tidak perlu untuk memandang terlalu jauh sehingga ke Bundesliga mahupun La Liga.
“Kita perlu lihat bermula di Asia contohnya Jepun atau Korea Selatan dan Thailand juga kini dilihat sudah diterima dengan baik di seluruh Asia Tenggara. Jadi, kita sasarkan di peringkat Asia Tenggara sebelum mengambil langkah seterusnya,” katanya.