Indra Putra Mahayuddin berjaya menjaringkan gol ke-100 dalam kancah Liga Malaysia (Liga-M) ketika menentang PKNS FC, Sabtu lalu telah mendapat perhatian Setiausaha Agung Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) Datuk Windsor Paul John.
Pemain yang bakal mencecah usia 38 tahun pada September ini telah menjaringkan jaringan cantik hasil sepakan lencong ketika menentang PKNS FC di Stadium Shah Alam.
Bagi Windsor, ia satu pencapaian yang mengagumkan daripada seorang pemain veteran dan menganggap ianya satu yang mustahil.
Justeru, Windsor mengucapkan tahniah kepada Indra kerana masih mampu untuk membantu pasukan dan mencipta rekod peribadi.
“Pada usia 38 tahun, tapi memiliki keinginan tinggi untuk menjaringkan gol. Setiap orang perlu ucap tahniah kerana anda mungkin boleh beraksi dan melakukan percubaan tetapi belum tentu dapat menjaringkan gol,” kata Windsor.
“Indra pemain yang bagus, semua orang tahu dan kariernya sangat panjang dalam bola sepak termasuk mewakili skuad kebangsaan.”