Pengurs Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer bertegas akan terus mempercayai penjaga gawang no. 1 United, David De Gea biarpun penjaga gol tersebut telah melakukan kesalahan yang mengakibatkan mereka seri, 1-1 dengan Chelsea di Old Trafford, semalam.
Pada perlawanan tersebut, United bermula garang dengan mendahului pada minit ke-11 melalui Juan Mata sebelum De Gea melakukan kesilapan dengan gagal menampan kemas rembatan jarak jauh Antonio Rudiger yang membenarkan Marcos Alonso menjaringkan gol penyamaan.
Biarpun gagal memberi aksi yang terbaik, para peminat United menyorak nama De Gea sewaktu pemain itu menuju ke bilik persalinan bagi menghargai prestasi terbaiknya sejak beberapa musim lalu sebelum mengharungi kejatuhan prestasi, baru-baru ini.
“David menakjubkan bagi kelab ini. Segala-galanya sudah dijelaskan oleh penyokong,” kata Solskjaer. “Tidak mungkin bagi sesiapapun menyalahkan dirinya disebabkan kami kehilangan begitu banyak mata.”
Beliau juga menyatakan bahawa akan bercakap dengan De Gea bagi memberi rehat kepada pemain tersebut.
“Saya fikir David adalah seseorang yang gemar untuk bermain. Saya akan bercakap dengannya pada minggu ini dan saya yakin dia akan membalasnya dengan cepat.”
United yang ketika ini mengutip 65 mata menghuni tangga keenam liga dan dibezakan tiga mata dengan pasukan tangga keempat, Chelsea berbaki dua perlawanan.