Pertemuan Kedah dengan Selangor bakal memberi tugas getir kepada penjaga gawang Helang Merah, Ifwat Akmal Che Kassim pada aksi perlawanan Liga Super di Stadium Darul Aman malam esok.
Pertembungan ini bakal menyaksikan kepulangan beberapa bekas pemain Kedah yang menyarung jersi Selangor pada musim ini – Syazwan Zainon, Sandro Da Silva, Halim Saari dan Kyril Muhymeen Zambri.
Menurut Ifwat, kepulangan mereka bakal memberi ancaman besar kepada pasukan Kedah dan beliau berazam untuk terus fokus.
“Saya perlu fokus untuk memastikan gawang Kedah tidak bolos malam esok walaupun sedar kelebihan yang ada pada beberapa pemain Selangor seperti Sandro Da Silva, Syazwan Zainon, Faiz Nasir, Amri Yahyah, Syahmi Safari dan lain-lain,” kata Ifwat.
“Tambahan pula bekas pemain-pemain Kedah ini memang sudah biasa dengan keadaan di Stadium Darul Aman dan boleh dianggap beraksi di laman sendiri cuma kini mereka beraksi bersama pasukan lain.
“Jika beraksi nanti, saya tetap mencabar diri saya kembali bangkit mengekalkan catatan tanpa bolos atau ‘clean sheet’ bagi membantu pasukan mencapai kemenangan kali ini.”
Ifwat juga mengakui perlu lebih fokus dengan Sandro yang telah menjadi pakar dalam sepakan percuma.
“Ketajaman sepakan bebas dia memang digeruni ramai penjaga gawang dan saya mahu lebih berhati-hati bagi mengelak dari melakukan kesilapan kerana inilah cabaran yang perlu saya hadapi.
“Jika dulu penjaga gawang lain yang diuji, tetapi kali ini giliran saya pula untuk melepasi ujian ini.” katanya