Liga Super Malaysia Berita

Chanta Bin mahu Terengganu kekal fokus

Pemain tengah Terengganu FC (TFC), Thierry Chantha Bin menuntut rakan sepasukan beliau untuk mengikis sikap sambil lewa menjelang pertemuan dengan Petaling Jaya City FC (PJ City) di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, pada Sabtu ini.

Beliau sebaliknya mahu rakan sepasukan tampil bertenaga bagi menjamin tiga mata penuh menjadi milik mereka.

“Sikap cepat berpuas hati dan beraksi sambil lewa terutama ketika mendahului pasukan lawan harus dikikis dalam diri setiap pemain termasuk saya kerana impaknya cukup besar kepada pasukan,” kata Chantha Bin.

“Justeru kami yang bertekad untuk mengutip mata penuh walaupun bermain di tempat lawan perlu mempamerkan aksi konsisten dan terbaik dalam setiap perlawanan bagi memastikan sasaran tercapai.

“Kami tidak rela tercicir mata lagi kerana jurang mata sudah jauh dengan pendahulu liga.”

Beliau juga menjelaskan tidak kisah jika diturunkan dibahagian pertahanan atau pemain tengah.

“Terserah kepada pilihan jurulatih, mana-mana posisi saya akan memberikan aksi terbaik kepada pasukan, yang penting kami menang,” katanya.