Berita AFC Champions League

Hariss Harun sedia hadapi cabaran Shandong Luneng FC

Kapten pasukan Johor Darul Ta’zim, Hariss Harun mengakui bahawa lawan mempunyai kekuatan fizikal serta agresif dalam corak permainan menjelang perlawanan menentang Shandong Luneng FC pada aksi Kumpulan E Liga Juara-Juara Asia (ACL) di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, di sini, malam esok.

Hariss sebelum ini diketepikan daripada skuad ketika mereka menang ke atas PKNS FC 3-1 pada aksi Liga Super akibat daripada pergantungan.

Walau bagaimanapun, beliau mengakui sudah bersedia berdepan skuad kendalian Lee Xiaopeng yang dibarisi pemain berkualiti seperti Marouane Fellaini dan Graziano Pelle.

“Secara peribadi saya sudah bersedia untuk beraksi menentang kelab dari China itu. Malah rakan sepasukan juga menunjukkan kesungguhan ketika sesi latihan sejak dua hari lalu bagi persiapan mengharungi kempen ACL.

“Walaupun ia perlawanan sukar buat JDT apabila melihat kepada reputasi Shandong Luneng FC tetapi kami akan berusaha dan turun melebihi 100 peratus untuk beri tentangan sengit kepada pasukan lawan kerana jika kemenangan mampu dilakar maka peluang mara ke pusingan seterusnya tampak cerah.

“Bukan sahaja kekuatan fizikal yang ada pada setiap pemain JDT tapi kekuatan mental juga penting untuk turun beraksi kerana kita tahu pasukan lawan akan menggunakan fizikal mereka untuk menidakkan usaha JDT mencipta kejutan,” katanya.

Tangga teratas Kumpulan E diketuai oleh Kashima Antler dari Jepun yang mengumpul tujuh mata diikuti tangga kedua, Shandong Luneng FC yang mengumpul lima mata dan Gyeongnam FC di tangga ketiga selepas mengutip dua mata dan JDT ditangga kebawah dengan satu mata selepas tiga perlawanan.