Malaysia Berita

Hamidin lepas jawatan Naib Presiden AFF

Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Dato’ Haji Hamidin bin Haji Mohd Amin, melepaskan jawatannya sebagai naib presiden Persekutuan Bolasepak Asean (AFF) yang dimenangi tanpa bertanding pada Kongres AFF di Siem Reap, Kemboja, baru-baru ini.

Dalam surat yang dikirim kepada Presiden AFF, Mejar Jeneral Khiev Sameth bertarikh 7 April, 2019, Dato’ Haji Hamidin menjelaskan keputusan itu diambil susulan pelantikannya sebagai ahli jawatankuasa eksekutif Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) bagi penggal 2019-2023 pada 6 April lalu.

“Atas dasar menghormati semangat perpaduan dalam kalangan ahli gabungan AFF, saya dengan ini memutuskan untuk melepaskan jawatan sebagai naib presiden AFF berkuatkuasa serta merta.

“Susulan perbincangan dengan Presiden AFC, Shaikh Salman bin Ebrahim Al Khalifa dan Jeneral Sameth, keputusan diambil ini bukan sahaja membolehkan saya lebih fokus pada tanggungjawab saya sebagai ahli exco AFC malah ia membuka laluan kepada rakan-rakan negara jiran menyumbang tenaga sebagai naib presiden AFF,” kata Dato’ Haji Hamidin.

Dalam Kongres AFF di Siem Reap pada 17 Mac lalu, Dato’ Haji Hamidin bersama Dato’ Sri Zaw Zaw dari Myanmar dan Dato’ Sri Francisco Kalbuadi Lay dari Timor Leste memenangi kerusi sebagai tiga naib presiden AFF tanpa bertanding.

Presiden AFF yang baru dipilih adalah Mejar Jenaral Sameth. Beliau menggantikan Sultan Ahmad Shah yang menolak pencalonan kerana gering. Sameth memenangi jawatan presiden tanpa bertanding berikutan penarikan diri Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al Mustafa Billah Shah. – FAM