Liga Super Malaysia Berita

Kedah lancar ‘satu penyokong satu bendera’

Kedah bakal menghadapi misi sukar dalam mengutip tiga mata penuh pada aksi Liga Super minggu ini apabila dijadualkan akan bertemu Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Darul Aman, Jumaat ini.

Sebelum ini, pasukan kendalian Aidil Sharak ditewaskan oleh Pahang sebelum cuti rehat antarabangsa di Stadium Darul Makmur.

Justeru, bagi meningkatkan semangat serta motivasi para pemain, Kelab-Kelab Penyokong Bolasepak Kedah (G32) mengajak semua penyokong Helang merah membanjiri Stadium Darul Aman menerusi kempen ‘satu penyokong satu bendera’.

Bercakap kepada Berita Harian, Azmi Abdullah, jurucakap G32 berkata ia adalah tanda kesetian kepada pasukan dan tanggunjawab sebagai penyokong pasukan Kedah.

“Kempen yang kita jalankan ini, dimulakan hari ini dengan acara simbolik iaitu penyerahan bendera kepada ketua jurulatih dan semua pemain Kedah selepas mereka mengadakan latihan di Stadium Sultan Abdul Halim, di sini.

“Kemudian pada hari perlawanan, bagi yang tidak memiliki bendera sendiri, kami akan mengadakan jualan bendera hijau kuning ini dengan potongan harga menarik di gerai berdekatan kaunter tiket bagi memudahkan penyokong mendapatkannya.

“Kami mahu semua penyokong Kedah bersama-sama menjayakan kempen yang diatur ini dalam menghidupkan suasana stadium,” katanya.

Bagi Aidil, kempen ini sangat membantu dalam memberi motivasi kepada setiap pemain.

“Kempen ‘satu penyokong satu bendera’ ini sungguh bermakna buat kami yang bakal menentang pasukan JDT. Dengan sokongan yang ditunjukkan ini, ia mampu untuk meningkatkan motivasi kami bagi memburu kemenangan.” katanya.