Malaysia Berita

Syed Saddiq luah rasa rindu pada Ultras Malaya

Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menyatakan perasaan kecewa dengan kehadiran penyokong Harimau Malaya pada aksi Malaysia menentang Singapura, Rabu lalu.

Bercakap kepada Berita Harian, beliau berkata ketiadaan penyokong setia Ultras Malaya turut dirasai, “Ketiadaan Ultras dirasai dan pastilah kehadiran mereka dirindui sebab semangat yang mereka bawa ke stadium sebelum ini memang tiada tandingan,” katanya.

Ultras Malaya sebelum ini telah menyatakan pendirian mereka untuk memboikot perlawanan Malaysia menentang Singapura disebabkan harga tiket yang mahal.

“Saya tetap hadir (perlawanan semalam) kerana bertanggungjawab memberikan sokongan kepada pasukan Harimau Malaya khususnya selepas membaca laporan di media rayuan pemain yang berharap peminat turun,” kata Syed Saddiq.

Beliau turut berharap para pemain yang dijadualkan bertemu Afghanistan pada esok petang bangkit memperagakan aksi lebih baik.

“Daripada segi corak permainan mereka semalam, saya rasa mereka boleh melakukan lebih baik dan yakin mereka akan lakukan lebih baik (menentang Afghanistan).

“Saya juga difahamkan mereka terpaksa membahagikan pemain dengan skuad bawah 23 tahun. Walau apapun mari kita bagi sokongan kepada mereka,” katanya kepada Berita Harian.

Untuk rekod, kehadiran penonton pada perlawanan Malaysia menentang Singapura hanya dihadiri tidak kurang daripada 3,000 orang.