Malaysia Berita

Dua pemain tuntut FAM tepati janji

“Mana hak kami? Bila lagi nak bayar pitis (wang) kami? Kami memerlukan pitis bagi meneruskan kelangsungan hidup, jangan buat kami menderita sebegini, kesabaran kami juga ada hadnya.”

Dua pemain Terengganu City (FC), Khairul Ramadhan Zauwawi dan Muslim Yusof menuntut janji Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yang memberi jaminan untuk memasukkan tunggakan gaji mereka ke akaun pemain pada 7 Mac lalu.

Dikala semua pemain sudah menerima tunggakan gaji, dua pemain ini masih menunggu-nunggu badan induk bola sepak Malaysia melunaskan janji mereka.

Memetika kenyataan mereka di Berita Harian, “sudah lebih dua minggu janji tidak ditepati, kami bagaikan hilang sabar, kami tidak dengki apabila ada  sebahagian daripada rakan sudah dapat habuan selama dua bulan gaji pada awal Mac lalu.

“Lebih menyedihkan, hampir setiap hari kami ke mesin ATM (mesin pengeluaran wang automatik) untuk membuat semakan namun akhirnya pulang hampa selain terpaksa berbaris panjang,” kata Khairul Ramadhan.

Beliau juga meminta penjelasan daripada pihak FAM.

“Kami nak tanya FAM berapa lama lagi harus kami tunggu? Sebagai badan induk bola sepak negara beri tarikh kepada kami agar kami tidak ternanti-nanti kerana FAM sudah berjanji sebelum ini.

“Apabila FAM senyap tanpa sebarang berita, kami makin gelisah, lebih risau dan bimbang jika wang kemenangan juara Piala FAM tahun lalu itu sudah lesap atau tidak diagihkan sebetulnya menyebabkan kami menjadi mangsa.

“Justeru kami rayu FAM bayar segera duit kemenangan itu kepada sebahagian lagi pemain yang belum dapat kerana kami amat memerlukannya,” ujar Ramadhan yang sedih mengenangkan nasib mereka yang bagaikan teraniaya.

Beliau juga menyatakan bahawa pihak FAM ada memaklumkan bahawa wang kemenangan sebagai juara Liga FAM musim lalu sudah dimasukkan tetapi sebaliknya yang berlaku.

“Saya hairan FAM maklum sudah masuk, tapi belum lagi, hanya sebahagian pemain saja dapat, saya dimaklumkan perlu buat aduan kepada FAM terlebih dahulu baharu dapat tunggakan atau wang kemenangan itu, namun peliknya kami sudah muncul juara Piala FAM jadi memang semua pemain tahun lalu patut menerima ganjaran itu.

“Tapi sehingga kini, kami belum dapat apa yang dijanjikan. Bagi saya, ia tidak adil dan munasabah serta salah… sebab duit juara memang untuk pemain 2018 yang sudah bertungkus lumus bermain sehingga bergelar juara,” ujar Muslim kepada Berita Harian.