Malaysia Berita

Kim Swee tak ambil mudah lawan Filipina dan Laos

Skuad bawah 23 (B-23) tahun negara perlu memberikan aski terbaik pada perlawanan menentang Filipina hari ini bagi mencuri tiga mata penuh pada pertemuan awal Kumpulan J Kejuaraan AFC.

Jika mereka berjaya memenangi perlawanan ini, terubatlah sedikit kedukaan yang dialami penyokong bola sepak tempatan apabila mengalami kekecewaan dengan skuad senior yang tewas mudah dengan Singapura pada Rabu lalu.

Justeru, setiap pemain yang turun beraksi perlu memberi komitmen yang tinggi bagi mengutip tiga mata penuh.

Bagi pengendali skuad B-23 negara, Ong Kim Swee tidak berlindung daripada perasaan kecewa dengan kekalahan skuad senior negara malah beliau berazam untuk mencipta kemenangan pada dua perlawanan awal menentang Filipina dan Laos.

“Ia satu kekecewaan (kekalahan Harimau Malaya). Kami pula sudah lakukan persiapan dan hari demi hari pemain semakin baik. Tetapi kami tidak boleh ambil mudah kerana kita tahu Filipina dan Laos ada peningkatan.

“Sudah pasti China adalah pasukan pilihan tetapi kami perlu hadapi saingan ini satu demi satu perlawanan. Namun tiada guna untuk kami fikirkan tentang China dan sekarang kami perlu dapatkan mata maksimum dalam dua perlawanan awal,” katanya.