Presiden Real Madrid, Florentino Perez menunjukkan minat kepada pemain muda Brazil selepas kelab itu dilaporkan telah melengkapkan perpindahan sebanyak €50 juta bagi mendapatkan Eder Militao yang berusia 21 tahun. Dengan kedatangan beliau, Jesús Vallejo kini akan dipaksa meninggalkan Madrid.
Militao menjadi tonggak penting untuk Porto dan telah bekerja rapat dengan dua bekas pemain Madrid – Pepe dan penjaga gol Iker Casillas – yang telah membimbing kelab Portugal ke suku akhir Liga Juara-Juara .
Impian kecil seorang Ayah
Pada Ogos 2018, Sao Paulo menyaksikan salah satu anak mudanya pergi meninggalkan kelab untuk menyertai FC Porto bagi melunaskan impian beliau bermain di peringkat tertinggi Eropah.
Perlawanan terakhir Eder Militao untuk Sao Paulo berakhir 20 minit sebelum wisel penamat. Pada perlawanan tersebut, anak muda ini berjaya mencatat paling banyak sentuhan dan paling banyak memenangi bola.
Misi utama beliau untuk menyertai pasukan itu pada usia 13 tahun hanyalah untuk memenuhi impian ayahnya yang mahu melihat beliau mewakili salah satu kelab terbesar Brazil. Tetapi nyata, impian ayahnya menjadikan dia antara pemain muda yang diburu beberapa kelab besar.
Beliau mula menempa nama pada musim 2017/18 bersama Sao Paulo sebelum dikhabarkan Real Madrid mula berminat terhadap anak muda ini.
Cara permainan Militao
Real Madrid mempunyai senarai panjang pertahanan yang mampu bergerak sebagai pemain tengah atau sebagai penyerang, antaranya adalah Sergio Ramos. Sekiranya Ramos naik ke atas bagi membantu bahagian serangan mencari gol, Casemiro akan mengambil tempatnya di kedudukan pertahanan tengah bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan Ramos.
Kekuatan dan fleksibiliti yang ditunjukkan oleh Eder Militao membolehkan beliau menyumbang kepada pasukan dengan cara yang sama. Dengan ketinggian 6 kaki dan 2 inci, hanya berbeza 4 inci daripada Thibaut Courtois. Kemampuan beliau untuk mengelecek lawan juga adalah antara penyumbang kepada kekuatan beliau.
Selain daripada itu, kemampuan beliau untuk bermain di tiga kedudukan berbeza – pertahanan tengah, pertahanan kanan dan pemain tengah bertahan. Walaupun beliau bermain baik sebagai pertahanan kanan di Porto, beliau mungkin tidak mendapat peluang yang sama ketika di Real Madrid disebabkan kehadiran Nacho dan Alvaro Odriozola. Sebaliknya, pemain muda ini bakal mengambil tempat yang akan ditinggalkan Sergio Ramos iaitu tempat yang menurut ayahnya sebagai kedudukan terbaik anaknya.
Militao bakal menjadi kunci kepada permasalahan yang dihadapi Madrid di bahagian pertahanan apabila Nacho sering kali ditukarkan daripada pertahanan tengah kepada pertahanan kanan manakala Vallejo pula jarang diturunkan dalam dua musim terakhir.
Zidane sudah melengkapkan tandatangan pemain ini yang bakal menyertai Madrid pada 1 Julai nanti. Ideanya adalah untuk beliau mempelajari lebih awal bersama Varane dan menyesuai diri dengan cepat. Daya saing yang tinggi, agresif, kemampuan untuk menyerang balas, fizikal yang kuat dan stamina yang tinggi adalah antara kelebihan yang dimiliki Militao.
Kecederaan dan disiplin
Kekuatan badan yang dimiliki pemain kelahiran Brazil ini secara semulajadinya telah membantu beliau untuk kekal cergas sepanjang kerjayanya sebagai pemain senior. Satu-satunya masa beliau mengalami kecederaan adalah pada musim 2017/18 di Sao Paulo yang menyaksikan beliau tidak disenaraikan hanya satu perlawanan kerana kecederaan otot paha.
Dalam keseluruhan musim 2018/19 untuk Porto, dia telah bermain sebanyak 34 perlawanan. Militao telah menerima hanya 2 kad kuning, menjaringkan dan memberi dua bantuan gol daripada 34 perlawanan yang dibarisi beliau.