Piala FA Malaysia Berita

Pahang Tak Ambil Mudah Lawan PIB FC

Pahang tetap tidak mahu memandang mudah cabaran yang bakal mereka tempuhi dalam misi mempertahankan kejuaraan Shopee Piala FA 2019 meskipun diundi bertemu kelab amatur Liga M4 Persada Integriti Bersatu (PIB FC) pada saingan pusingan kedua bermula pada 2 dan 3 April depan.

Menurut Pengurus Pahang Datuk Mohammed Suffian Awang, skuad Tok Gajah kendalian Dollah Salleh itu tetap berwaspada dan menurunkan skuad terbaik untuk berdepan lawan yang berpangkalan di Shah Alam.

“Kita akan menghadapi pasukan dari Liga M4 iaitu PIB FC dari Shah Alam. Walaupun hanya kelab berstatus amatur tapi dalam persaingan Shopee Piala FA ini tak boleh ambil mudah, kita tetap akan membariskan pemain sedia ada untuk bertemu mereka.
“Kita lihat pasukan lain juga membariskan pemain hebat dalam saingan unifi Liga Super, setiap pasukan mengidamkan kejuaran Shopee Piala FA jadi bukan perkara mudah untuk Pahang untuk mempertahankan kejuaraan,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Undian Shopee Piala FA 2019 hari ini.

Pahang meraih gelaran ketiga musim lalu selepas menewaskan Selangor di pentas final 2-0 di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Dan peluang skuad The Red Giants untuk mara ke pusingan ketiga sukar diduga meskipun hanya berdepan pasukan Liga Premier Kelantan.

“Ia bukan laluan mudah, Kelantan pasukan gah satu ketika dahulu, bertemu Kelantan di pusingan kedua Shopee Piala FA ini di gelanggang lawan bukan mudah, kita tetap berhati-hati dan teruskan usaha perbaiki prestasi sebelum bertemu Kelantan,” kata Pengurus Selangor Datuk Abdul Rauf Ahmad.

Undian itu juga menyaksikan pasukan juara unifi Liga Super Johor Darul Ta’zim (JDT) mendapat laluan percuma ‘Bye’ dan hanya akan menanti pemenang yang lain pada pusingan 16 terbaik nanti.

Tapi laluan berliku menanti kelab unifi Liga Super PKNS FC apabila bakal berdepan satu lagi pasukan elit Melaka di laman sendiri manakala Perak akan bertemu Negeri Sembilan di Ipoh.

Juara empat kali Kedah pula bakal membuat perhitungan dengan Selangor United di gelanggang lawan.

Sementara kelab unifi Liga Super PKNP FC akan berhadapan pasukan M3 yang mencatatkan kemenangan terbesar dalam saingan Shopee Piala FA iaitu Batu Dua FC manakala Kuala Lumpur menanti cabaran kelab amatur dari ibu kota, Tun Razak FC.

Turut menarik perhatian adalah pertembungan kelab Jerantut FA dan JBFA yang berpeluang melakar sejarah menjadi kelab amatur pertama melangkah ke pusingan ketiga.