Luar Negara Berita

Garuda Sedia Baham Harimau

Indoesia gagal mencatat kemenangan pertama pada aksi pembukaan Piala B-22 AFF apabila sekadar mencatat keputusan seri. Mereka tanpa berselindung menyatakan hasrat untuk menewaskan anak buah Ong Kim Swee pada aksi kedua Kumpulan B.

Bagi pengendali skuad Garuda Muda, Indra Sjafri, menjelaskan bahawa misi utama mereka pada perlawanan hari ini adalah mencari tiga mata penuh.

Beliau juga tidak menolak akan berlaku rombakan pasukan selepas aksi kurang memuaskan dengan Myanmar tempoh hari.

Memetik kata-kata beliau di Berita Harian, “Pasti akan ada perubahan dan kita akan perbaiki esok (aksi menentang Malaysia). Saya tahu kelebihan Malaysia kerana kita sering bertemu.

“Ia kemenangan yang kita mahu apabila menentang Malaysia. Kalau kita mahu mara pemain mesti usaha,” katanya ketika ditemui sejurus tamat aksi menentang Myanmar di sini, semalam.

Malaysia berada di tangga terakhir Kumpulan B dengan Kemboja menduduki tempat pertama selepas berjaya menewaskan skuad negara, manakala Myanmar dan Indonesia di tempat kedua dan ketiga.

Bagi jurulatih Harimau Muda, Ong Kim Swee menjelaskan bahawa dua aspek akan diberi keutamaan menjelas perlawanan dengan Indonesia nanti.

Beliau akan memberi tumpuan kepada aspek menyerang dan bertahan dalam mengelakkan pintu gol Malaysia bolos lagi.

“Dari apa yang saya lihat, kita bukan hanya perlu bertahan tetapi kita juga perlu melakukan serangan jika kita mahu menjaringkan gol kerana kita perlu menang.

“Tidak ada rancangan khusus untuk sistem pertahanan atau pendekatan, dan gaya bermain sebelum ini tidak semata-mata untuk mempertahankan diri,” katanya kepada NST.