Malaysia Berita

Piya dan Lapan Pemain Lain Tinggalkan Perlis

Dikhabarkan beberapa pemain Perlis bakal mengikut jejak langkah bekas penyerang mereka, Safee Sali meninggalkan kelab terbabit.

Situasi di kem Perlis nyata tidak menyenangkan apabila Persatuan Bolasepak Perlis seperti tidak peduli dengan tuntutan gaji daripada pemain.

Terbaru, bekas kapten Kelantan, Mohd Badhri Radzi sah meninggalkan Perlis selepas kecewa dengan Persatuan Bolasepak Perlis (PFA).

Beliau turut mengesahkan bahawa sepanjang isu tunggakan gaji ini hangat diperkatakan, sudah lebih lapan pemain meninggalkan Perlis untuk mencari pasukan baru.

Pemain tengah berusia 36 tahun ini turut menyatakan hasrat beliau untuk pulang beraksi dengan negeri kelahiran beliau iaitu Kelantan.

“Saya memang sudah angkat kaki (tinggalkan Perlis) dan hari ini adalah hari terakhir. Hala tuju seterusnya mungkin bersama Kelantan atau Kelantan United,” katanya kepada Berita Harian.

“Kelmarin saya sudah jumpa Ketua Pegawai Eksekutif Kelantan Red Warriors Sdn Bhd (Fazli Mohammad). Kalau diikutkan saya setuju dengan syarat dia berikan dan kini hanya menunggu jawapan daripada pihaknya pula.

“Sekarang ini pemain (Perlis) semakin lama semakin tiada dan sekarang ini pun tinggal berapa kerat saja. Tujuh hingga lapan pemain sudah keluar dan saya difahamkan ada beberapa pemain lain lagi akan menyusul.”

Terdahulu, Safee Sali yang sah meninggalkan Perlis turut menyatakan bahawa akan ada lebih ramai lagi yang bakal mengikut jejak langkah beliau.

“Saya rasa mungkin ada yang akan meninggalkan pasukan ini kerana mereka juga mempunyai keluarga, tanggungan dan kehidupan sendiri.

“Mereka pun sudah berfikir panjang dan menunggu selama dua bulan. Sudah tentu sebarang keputusan yang diambil adalah demi keluarga mereka,” katanya kepada Berita Harian.