Malaysia Berita

Ong Kim Swee Rombak Skuad Muda Negara

Ong Kim Swee mahu anak buahnya bangkit daripada kekalahan mengejut 0-1 ke atas Kemboja semalam dengan mengalahkan Indonesia pada perlawanan kedua nanti.

Skuad muda negara yang beraksi di dalam Kumpulan B saingan Piala LG B-22 AFF gagal mencari tiga mata penuh yang diharapkan dan menempah laluan sukar untuk ke pusingan kalah mati.

Memetik kata-kata beliau di Berita Harian, “Perlawanan kedua kita harus dapatkan mata tak kira satu ataupun tiga untuk membuka peluang kita ke peringkat seterusnya”.

Biarpun saingan masih terbuka apabila Indonesia dan Myanmar hanya mampu seri, 1-1. Malaysia perlu mencari kutipan mata bagi memberi kedudukan yang selesa.

Dalam perkembangan yang sama, Ong Kim Swee akan merombak kesebelasan utama beliau dengan dua tonggak iaitu R. Kogileswaran dan Danial Haqim Draman akan diketepikan ekoran daripada masalah kecederaan dan pergantungan perlawanan.

“Tentu akan ada rombakan di mana kita ada masalah dengan bahagian tengah selepas Kogileswaran dan Danial tak dapat bermain nanti.

“Namun masih ada pemain yang boleh mengisi slot ditinggalkan dan saya percaya mereka mampu menjalankan tugas dengan baik,” katanya.