Malaysia Berita

Status Sumareh Diketahui Rabu Depan

Nasib pemain kelahiran Gambia yang telah mewakili pasukan negara, Mohamadou Sumareh untuk didaftarkan sebagai pemain tempatan dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini bakal diketahui 16 Januari ini apabila ahli lembaga Liga Bolasepak malaysia (MFL) dijangka bersidang.

Sebelum ini, MFL mengeluarkan kenyataan bahawa Sumareh hanya boleh didaftarkan sebagai pemain tempatan pada bulan Mac biarpun sudah mendapat status sebagai pemain naturalisasi dan mewakili negara pada saingan Piala AFF.

Persatuan Bolasepak Negeri Pahang (PBNP) telah mengemukakan rayuan kepada wakil MFL agar Sumareh didaftarkan sebagai pemain tempatan sebelum tarikh akhir pendaftaran pemain pada 20 Februari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Kevin Ramalingam dalam satu kenyataan kepada Berita Harian berkata rayuan PBNP itu perlu diperhalusi oleh setiap ahli lembaga pengarah sebelum sebarang keputusan dibuat.

“Surat rayuan PBNP bertarikh 27 November 2018 hanya diserahkan kepada MFL pada 19 Disember 2018. Rayuan ini perlu diperhalusi ahli lembaga pengarah sebelum sebarang keputusan dibuat.

“Sebenarnya mengikut peraturan sedia ada, mana-mana pemain naturalisasi hanya boleh didaftarkan sebagai pemain tempatan selepas lima tahun mendapat taraf kerakyatan.

“Tapi kami memberi pertimbangan sewajarnya untuk memendekkan tempoh itu kepada setahun daripada tarikh permohonan pendaftaran Pahang pada 2 Mac tahun lalu atas beberapa aspek termasuk Sumareh sudah bermastautin di negara ini sejak berusia 12 tahun.

“Justeru pada 1 Oktober tahun lalu, ahli lembaga pengarah MFL membuat keputusan membenarkan Sumareh didaftarkan pada jendela perpindahan kedua pada 2 Mei depan apabila mengambil kira tempoh setahun permohonan pendaftaran oleh PBNP.

“Selepas keputusan itu, baru PBNP membuat rayuan. Pada saya isu MFL sengaja melengahkan pendaftaran Sumareh tidak perlu ditimbulkan,” katanya.

Kevin turut menjelaskan bahawa MFL tidak boleh sewaenang-wenangnya memberi kelonggaran dalam pendaftaran pemain naturalisasi kerana ia akan memberi kesan kepada kepentingan pemain tempatan pada masa akan datang.

“Dalam peraturan sudah ditetapkan lima tahun untuk tempoh pendaftaran pemain naturalisasi dalam Liga M, jadi kita perlu mengikut peraturan ini tapi dalam kes Sumareh kita beri sedikit keistimewaan atas beberapa faktor.

“Tapi kita mahu memberi penegasan bahawa kita tidak boleh terus beri kelonggaran selepas ini kerana kita tidak mahu jika ada lagi pemain naturalisasi dibawa masuk, akan terus didaftarkan sebagai pemain tempatan dan akhirnya akan memberi kesan kepada perkembangan pemain tempatan,” katanya kepada Berita Harian.