Malaysia Berita

FAM Digesa Kaji Semula Lesen FELDA United

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sebelum ini telah meluluskan permohonanan, FELDA United, UiTM FC dan MIFA bagi mendapatkan lesen kebangsaan dan jika layak, pasukan ini dapat beraksi di Liga Super musim hadapan.

Salah satu syarat untuk mendapatkan lesen kebangsaan adalah setiap pasukan wajib tidak terpalit dengan sebarang isu tunggakan gaji, baik untuk pengurusan mahupun pemain.

Baru-baru ini, Sukan NSTP telah mengeluarkan satu berita dimana skuad FELDA United sebenarnya terpalit dengan isu tunggakan gaji. Perkara ini telah mengelirukan serta mengejutkan ramai pihak apabila kelab itu sudah lulus dalam permohonan mendapatkan lesen kebangsaan.

Justeru, bekas Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib FAM, Kamarudin Abdullah menggesa agar pihak FAM dan MFL untuk menyemak semula status FELDA United sama ada pasukan itu benar-benar memenuhi syarat yang ditetapkan.

“Sekarang ini FELDA United sudah lulus untuk mendapatkan lesen (kebangsaan) daripada FAM. Jadi, kalau lesen sudah lulus maknanya FAM sudah mendapat pengesahan yang FELDA United layak untuk menyertai liga.

“Ia kerana sebelum bagi lesen, mereka (FAM) pasti melihat secara terperinci adakah FELDA United ini memenuhi kriteria atau syarat yang ditetapkan termasuk tidak berdepan masalah gaji,

“Tetapi kalau masalah sama (tunggakan gaji) timbul selepas lesen diberikan dan ia berlaku sebelum liga bermula,  saya rasa FAM berhak untuk tarik balik atau mengkaji semula lesen yang diberikan kepada FELDA United.

“Perkara ini sebenarnya lebih kepada sama ada pengurusan itu profesional atau tidak dalam menguruskan pasukan. Kita tahu Liga Super memerlukan dana yang cukup besar dan semua pasukan bertanding perlu bersedia dengan semua itu.

“Macam JDT (Johor Darul Ta’zim), kita tidak boleh mempertikai kejayaan mereka muncul juara setiap tahun kerana kewangan mereka bagus. Bagi pasukan yang tiada kewangan yang baik ini, saya rasa FAM patut bantu, paling kurang pun bagi taklimat cara pengurusan kewangan yang betul,” kkatanya kepada Sukan NSTP.