Malaysia Berita

PFA Nafi Kenyataan PFAM, Tunggakan Gaji Melibatkan Pemain Di Bawah Pengurusan Baharu

“Seolah-olah ada unsur sabotaj,” kata Presiden Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA), Datuk Ahmad Amizal Shaifit Ahmad sewaktu diminta mengulas komen Persatuan Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM) yang mengatakan bahawa PFA menipu selepas menyatakan bahawa semua gaji pemain yang tertunggak sudah selesai.

“Bagi pemain pada musim 2016 dan 2017 mahupun sebelumnya, mereka tidak tertakluk dengan pengurusan baharu namun atas dasar tanggungjawab, saya cuba membantu mereka menyelesaikan masalah ini.

“Jadi, kami sedang mengumpul dokumen yang berkaitan dan kontrak mengenai pemain terdahulu sebelum kami boleh mengambil tindakan. Berilah kami ruang dan masa kerana kami sememangnya tidak mahu lepas tangan terhadap isu ini.

“Cuma apabila kenyataan dikeluarkan PFAM semalam, saya rasa kecewa kerana bukan hanya Perlis berdepan masalah sama, ada lagi pasukan lain turut mengalami masalah ini tetapi hanya Perlis sahaja yang ditekankan dalam kenyataan itu.

“Sebagai presiden PFA, saya beranggapan ini seolah-olah mahu mensabotaj dan cuba menidakkan hak Perlis untuk beraksi dalam Liga Perdana. Apapun, ia boleh diselesaikan dalam suasana yang harmoni dan secara profesional,” kata Amizal pada Berita Harian sewaktu Majlis Pengenalan Safee Sali sebagai Pemain Perlis.