Malaysia Berita

Zaquan Mahu Tan Cheng Hoe Kekal, Percaya Pada Kemampuan Beliau

Kapten dan juga penyerang negara, Zaquan Adha berpendapat bahawa Tan Cheng Hoe layak untuk dikekalkan sebagai pengendali Harimau Malaya. Biarpun beliau gagal membawa pulang Piala AFF selepas tewas di tangan Vietnam secara agregat 3-2 di Hanoi semalam.

Bagi beliau, Tan Cheng Hoe adalah individu yang dekat dengan pemain. Beliau sentiasa menjaga kebajikan pemain serta tahu untuk menggunakan kemampuan setiap pemain beliau. 

“Kalau tanya saya, kalau saya puji tak adil pula, mesti orang kata sebab saya kapten sebab itu puji jurulatih Tan Cheng Hoe.

“Bagi saya, secara ikhlas saya katakan, mana-mana jurulatih yang datang, (pernah) menang Piala Dunia sekalipun, tetapi (jika) tak pandai ambil hati pemain, pasukan itu tak akan jadi.

“Saya boleh katakan jurulatih Tan ada satu karektor, ada falsafah tersendiri, daripada awal lagi ramai orang kritik, kenapa ambil saya sebagai kapten, kenapa formasi macam ini.

“Sebagai pemain, saya melihat jurulatih Tan sangat tenang, sangat jelas dengan keputusan, beliau tak dengar orang cakap, beliau tahu apa yang beliau mahu buat.

“Kami sentiasa dengar perkataan dari mulut dia ‘kita kena ikhlas dan jujur’. Untuk saya, beliau ada falsafah tersendiri, setiap jurulatih ada falsafah tersendiri, harus diberi peluang kepadanya,” katanya seperti yang dipetik di Berita Harian.

Pada permulaan kempen Piala AFF Suzuki, terdapat pelbagai mulut yang pengkritik cara pemilihan pemain serta falsafah yang digunakan. Antara kritikan pedas tersebut adalah pemilihan pemain yang tidak mendatangkan kestabilan kepada pasukan apabila Tan Cheng Hoe memilih untuk memanggil dua pemain tengah dari sistem bertahan dan meninggalkan pemain tengah menyerang.

Selain daripada itu, tanda aras yang diletakkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) kepada Tan Cheng Hoe adalah untuk sampai ke perlawanan akhir. Ramai mulut-mulut yang tidak yakin dengan kemampuan beliau meskipun telah membuktikan bahawa falsafah beliau berjaya di Kedah.

“Kalau ikutkan, bila kempen bermula macam-macam kritikan dan pertikaian mengenai formasi, pemilihan pemain serta kenapa saya menjadi kapten.

“Bagi saya setiap pemain ada kelebihan masing-masing, mungkin rezeki saya sampai ke pentas akhir, tetapi bukan rezeki saya untuk jadi juara.

“Saat ini kita akan tengok siapa penyokong yang betul-betul sokong Malaysia atau tidak, jangan hanya kita menang kita disokong, saat kita kalah begini kita dicaci, saya harap setiap penyokong yang menyokong faham kami sudah lakukan yang terbaik untuk memuaskan hati semua orang tapi bukan rezeki kami,” katanya beliau kepada Berita Harian.