Malaysia Berita

Piala AFF Suzuki 2018 : Penyokong Harimau Malaya ‘Gila’ – Huy Toan

Pemain antarabangsa Vietnam, Vo Huy Toan mengakui bahawa anak buah kendalian Park Hang-Seo bakal menerima cabaran besar apabila perlu bermain dihadapan 80,000 penyokong Harimau Malaya.

Vietnam yang akan bertemu Malaysia di pentas final Piala AFF Suzuki 2018 esok bukan sahaja bakal berhadapan tentangan sengit daripada anak buah Tan Cheng Hoe, tetapi daripada ribuan penyokong yang bakal hadir memenuhi setiap kerusi Stadium Nasional Bukit Jalil.

Mengulas lanjut mengenai perkara tersebut, beliau merasakan bahawa penyokong Malaysia adalah penyokong yang ‘gila’ dan tidak berhenti menyokong pasukan Harimau Malaya.

“Saya tidak fikir akan mendapat peluang diturunkan dalam permainan besar ketika berdepan Malaysia. Saya dan rakan sepasukan terkejut dengan tekanan dahsyat yang hadir dari tempat duduk penonton.

“Boleh dikatakan penyokong Malaysia enggan melihat pasukan mereka tewas kepada Vietnam, mereka benar-benar ‘gila’ di tempat duduk,” katanya seperti yang dipetik di dalam media Vietnam, Zing News.

Dikenali sebagai Ekor Harimau Malaya, Ultras Malaya akan memimpin sokongan bagi memberi motivasi kepada pemain. Mereka akan mula menyanyi daripada seawal minit pertama sehingga minit terakhir. 

Beliau turut mengakui bahawa ia adalah satu tugas berat buat para pemain kerana perlu bermain di hadapan penyokong Malaysia.

“Mereka sentiasa bersorak, menyanyi dan menaikkan semangat pasukan, sambil memberi tekanan kepada Vietnam. Saya tidak pernah bermain di bawah tekanan berat seperti itu, termasuk beberapa rakan sepasukan yang lain.”

Vo Huy Toan yang tidak terpilih pada edisi kali ini mengikat para pemain untuk terus fokus dan menjalankan tugas dengan baik.