Malaysia Berita

Piala AFF Suzuki 2018 : Sokongan Padu Penyokong Amat Diperlukan – Tan Cheng Hoe

Pengendali negara, Tan Cheng Hoe mahu lautan hitam kuning membanjiri Stadium Nasional Bukit Jalil bagi menyatakan sokongan buat skuad Harimau Malaya menjelang perlawanan akhir Piala AFF Suzuki 2018. 

Bagi beliau, aura penyokong adalah kunci kepada kejayaan pasukan negara dan bakal menyemarakkan lagi motivasi para pemain dalam memburu kemenangan.

Sokongan daripada penyokong Harimau Malaya adalah amat diperlukan pada peringkat ini seperti yang berlaku ketika kita seri 0-0 dengan Thailand sebelum ini.

Justeru, beliau mengingatkan buat para pemain agar menggunakan kelebihan beraksi dihadapan penyokong negara untuk memburu gol awal dan mencipta kemenangan selesa.

“Kita tahu pasukan Vietnam satu pasukan cukup kuat dan kita kena ambik peluang sebaik-baiknya apabila beraksi di gelanggang sendiri dengan 80,000 penyokong tempatan akan berada di stadium nanti.

“Dengan sokongan padu itu, pemain akan dapat semangat, motivasi dan aura berbeza. Dalam bola sepak sudah semestinya bila kita dapat gol baru boleh menang, jadi pemain perlu gunakan peluang di tempat sendiri untuk mencipta jaringan,” katanya.

Tambah beliau lagi, walaupun Vietnam pernah mengalahkan Malaysia pada saingan Kumpulan A, 0-2. Beliau tetap yakin dengan kemampuan anak buah beliau dalam mencipta kejutan.

“Saya yakin jurulatih Vietnam akan menganalisa dan membuat persediaan menentang kita. Tapi saya tetap ada keyakinan tinggi terhadap pemain yang mereka mampu memberi kejutan terbesar kepada Vietnam malam esok,” katanya kepada Berita Harian.